1MDB: Bentang segala transaksi pengurangan hutang

perincian-hutang-1mdb

Kerajaan akan membentangkan segala transaksi pengurangan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui pelaburan kepada aset syarikat dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang syarikat berkenaan.

Katanya, pelan itu disambut baik oleh pelbagai pelabur sama ada dari dalam atau luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan dan kenyataan oleh semua pihak.

“Justeru segala siasatan kepada mana-mana pihak sekali pun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku.

“Kerajaan ingin menegaskan segala maklumat mengenai siasatan berkenaan akan dilakukan secara adil dan terbuka,”katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.

Katanya, sistem perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan adalah jelas dan jika terdapat pihak yang didapati bersalah, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum intipati kenyataan praMajlis Raja-Raja, sekali gus menunjukkan prinsip Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen di negara ini tidak terpisah.

Leave a Reply