1MDB: Tiada Rancangan Tukar Anggota Lembaga Pengarah – Ahmad Husni - pakdin.my

1mdb-pihak-berkuasa

Tiada cadangan untuk menukar angggota Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dilantik sebelum ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bercakap pada persidangan Dewan Negara pada Isnin, beliau turut menyifatkan penahanan bekas Eksekutif PetroSaudi International (PSI) Ltd, Xavier Justo, di Thailand baru-baru ini telah memberi banyak impak terhadap perkembangan isu 1MDB.

“Sebelum ini 1MDB dilihat sebagai syarikat yang ‘fragile’ (goyah), ada skandal dan pelbagai tuduhan daripada media ‘online’ (dalam talian).

“Dengan penangkapan Justo, berdasarkan apa yang Justo nyatakan bermakna isu-isu itu tidak timbul, bermakna bahawa 1MDB berada atas landasan yang betul,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi pihak Kementerian Kewangan.

Malah, kata Ahmad Husni, kerajaan kini sedang menunggu laporan lengkap (mengenai siasatan Justo) sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Pada Rabu lepas, akhbar melaporkan mengenai penahanan Justo oleh polis Thailand dan beliau didakwa atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi yang dikenali di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalinkannya dengan 1MDB.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Husni sekali lagi menegaskan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih tidak dapat diumumkan berikutan beberapa justifikasi yang masih perlu dilakukan.

Jelasnya, daripada hasil kutipan cukai itu, aspek pengiraan lanjut masih perlu dibuat kerana banyak perkara perlu ditolak seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta insentif-insentif yang diberikan kerajaan.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, kerajaan pada asasnya mengunjurkan akan memperoleh RM690 juta hasil GST bagi tahun ini, katanya.

Mengulas penggunaan hasil kutipan cukai itu kelak, beliau berkata: “Bila kerajaan hendak berbelanja, ia akan dimasukkan ke dalam bajet, akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Jika dilihat dalam RMK11, kerajaan memberi penekanan terhadap golongan B40 (Bawah 40), (justeru) di situlah hasil penggunaan GST akan diberi tumpuan,” katanya.

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB: Tiada Rancangan Tukar Anggota Lembaga Pengarah - Ahmad Husni

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium