4 saudara termasuk budak maut nahas - pakdin.my

Kemalangan-Jalan Sidam Kiri-Padang Serai

SUNGAI PETANI – Empat bersaudara termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sidam Kiri-Padang Serai dekat sini petang ini.

Nahas ngeri itu berlaku pukul 5.40 petang ketika kereta Nissan Sunny tersebut dalam perjalanan dari arah Padang Serai ke Sungai Petani sebelum terbabas lalu merempuh lori dari arah bertentangan.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Deputi Supritendan Ahmad Kamil Ahmad berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu dan penumpang belakang kereta itu tercampak keluar termasuk ada antaranya yang putus kepala.

Beliau berkata, mangsa yang maut ialah pemandu kereta itu, Tan Sou Kim, 50; dan penumpangnya, Tan Siew Chin@Daod Serni, 45; Ong Siew Yan, 40; serta kanak-kanak perempuan, Tan Jit May, 11.

Katanya, mangsa yang cedera parah pula ialah Hou Guan Ting, 18.

“Kesemua mangsa dipercayai mempunyai talian persaudaraan. Keempat-empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, M. Arumugam, 45, yang merupakan antara orang terawal tiba di tempat kejadian berkata, dia sempat menghulurkan bantuan kepada Guan Ting.

“Remaja itu meraung kesakitan meminta tolong setelah kakinya tersepit di kerusi tempat duduk. Saya dan beberapa lagi sempat menarik keluar dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Arumugam, kesemua mangsa lain yang berlumuran darah dipercayai telah meninggal dunia kerana sudah tidak lagi bergerak.

Dalam pada itu, Ahmad Kamil berkata, polis telah menahan pemandu lori berusia 40-an itu untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

UTAMABERITA4 saudara termasuk budak maut nahas

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium