9 ditahan susulan kes tembak suspek jenayah rentas sempadan (video) - pakdin.my

EssCom-temba-penjenayah

Pihak keselamatan menahan tujuh lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan seorang suspek dipercayai penjenayah rentas sempadan di Semporna, Ahad.

Dalam masa sama, pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sedang mengesan enam lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes jenayah rentas sempadan.

“Mereka dikenali sebagai Badong, Bocai, Wahab, Ali, Nilson dan Alex. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pihak ESSCom di talian 089-863181 atau balai polis berhampiran,” kata Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebentar tadi ekoran kejadian berbalas tembak antara pihaknya dengan suspek lelaki itu di kawasan perairan Bangau Bangau, di sini awal pagi Ahad.

Katanya, suspek yang belum dikenal pasti identitinya itu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan berkenaan kira-kira jam 2.15 pagi.

Beliau berkata ketika kejadian, pasukan peronda terserempak dengan sebuah bot berwarna biru dan mempunyai garisan merah di bahagian atas bot yang dikemudi seorang lelaki.

“Apabila cuba dihampiri, suspek terus melarikan diri dan setelah berjaya dikejar, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis,” katanya.

Beliau berkata selepas insiden berbalas tembakan, pihaknya terus menghampiri bot berkenaan dan mendapati suspek terbaring berlumurah darah serta dipercayai telah meninggal dunia.

Abdul Rashid berkata hasil pemeriksaan, sepucuk pistol bersama dua kelongsong peluru dan tiga butir peluru hidup di dalam silinder dijumpai di tempat kejadian.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan suspek dipercayai berusia 40-an,” katanya.

Beliau berkata terdapat dua kesan tembakan di bahagian kiri bot yang dinaiki pasukan peronda, bagaimanapun pasukan peronda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Semporna dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tembakan di belakang kepala dan ada kesan luka di bahagian hadapan kepala, katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, pihak ESSCom melakukan operasi di beberapa buah perkampungan air di sekitar Semporna kira-kira jam 10 pagi ini dan menahan kesemua terbabit untuk membantu siasatan.

 

 

UTAMABERITA9 ditahan susulan kes tembak suspek jenayah rentas sempadan (video)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium