Adam Adli didakwa di Mahkamah Sesyen - pakdin.my

adam-adli-bicara

KUALA LUMPUR 23 Mei – Aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abdul Halim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menumbangkan kerajaan, 13 Mei lalu.

Hakim Norsharida Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

adam-adli-menghasut

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes bagi perbicaraan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

Hakim Norsharidah Awang melepas dan membebaskan Adam Adli dengan ikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah.

Adam Adli, 25, didakwa di bawah Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata hasutan yang mempunyai kecenderungan bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang dengan cara yang tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 13 Mei lalu di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam.

Antara kenyataan Adam Adli yang terkandung dalam kertas pertuduhan yang dibacakan hari ini adalah:

“Ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini saya nak ajak semua rakyat yang ada di sini, kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampas kembali kuasa kita!

“Boleh atau tidak? Boleh atau tidak? Boleh atau tidak? Kita tak banyak masa lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke jalan raya sebab akhirnya dalam dunia ketiga macam negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan kita.

“Yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat. Sedara, ingat, ini sahaja peluang yang kita ada…”

Ketika prosiding, peguam pembela, N. Surendran membantah permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 serta seorang penjamin.

Surendran yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaliknya memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan bon sendiri tanpa bayaran atau penjamin dengan alasan tertuduh masih merupakan penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang akan menyambung semula pengajian pada September depan.

Malah menerusi hujahnya, Surendran turut membangkitkan alasan bahawa bahawa pertuduhan ke atas anak guamnya tidak mempunyai asas kukuh berikutan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan sepenuhnya.

“Ia bersifat tidak adil kepada tertuduh kerana tiada elemen keganasan yang berlaku hingga boleh memudaratkan orang ramai. Kemungkinan pihak pendakwaan untuk berjaya dalam kes ini adalah tipis,” katanya.

Sementara itu Mohamad Abazafree ketika memberi hujah balas mengenai pemansuhan Akta Hasutan berkata akta itu masih berkuatkuasa selagi ia tidak dimansuhkan.

“Jumlah jaminan itu ialah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah ketika perbicaraan,” katanya.

Selain itu, Surendran turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pertuduhan terhadap Adam Adli atas alasan wujudnya salah guna kuasa mahkamah.

Barisan pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi manakala pembelaan dibantu peguam Datuk S.Ambiga.

UTAMAAdam Adli didakwa di Mahkamah Sesyen

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium