Ahmad Zahid Nasihat Dalang Hasut Ketua Cawangan Supaya Fahami Perlembagaan UMNO

perlembagaan UMNO

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan beberapa cawangan UMNO yang mendesak Presiden UMNO meletak jawatan, didalangi pihak-pihak tertentu yang mempergunakan ketua-ketua cawangan terbabit.

Naib Presiden UMNO itu berkata mereka terbabit perlu faham bahawa UMNO mempunyai sistem, peraturan, tatacara dan juga perlembagaan yang menentukan kaedah pemilihan untuk menentukan kepimpinan di peringkat nasional, bahagian dan cawangan.

“Saya tidak berhasrat untuk menghentak hati mana-mana pihak tetapi UMNO hidup dan terus relevan dengan mengikuti tatacara dan peraturan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu ditanya mengenai seramai 34 ketua Cawangan UMNO dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatannya sebagai Presiden UMNO, seperti dilaporkan media sosial baru-baru ini.

“Seramai 34 orang daripada 21,000 (ketua cawangan), fikir sendirilah tergugat atau tidak (dengan desakan itu),” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid turut menasihatkan dalang-dalang berkenaan supaya mematuhi sistem, peraturan dan tatacara yang termaktub dalam perlembagaan UMNO.

“Ini bukan satu tuduhan (terdapatnya dalang) tetapi saya sebagai seorang daripada naib presiden UMNO mencium bau dalang-dalang yang mencampuri soal ini dan menggunakan ketua-ketua cawangan ini untuk melakukan desakan.

“Tatacara itu harus dihormati bukan dengan kaedah yang digunakan oleh dalang-dalang berkenaan.

“Saya fikir eloklah dalang berkenaan sama ada yang nampak atau tidak nampak, mengikuti peraturan dan perundangan sedia ada,” kata Ahmad Zahid.

9 Replies to “Ahmad Zahid Nasihat Dalang Hasut Ketua Cawangan Supaya Fahami Perlembagaan UMNO

Leave a Reply