Akaun Yang Dibeku Bukan Milik Najib – Peguam Negara - pakdin.my

ghani-patail-ag

Perintah pembekuan enam akaun bank membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak melibatkan akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menerusi kenyataan pada Rabu.

“Perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai lalu tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh Perdana Menteri,” katanya.

Pada Selasa Pasukan Petugas Khas mengesahkan mengenai pembekuan enam akaun bank pihak yang dipercayai terlibat dengan dakwaan penyaluran sejumlah besar dana ke akaun peribadi Najib.

Selain itu, Ghani yang mengetuai Pasukan Siasatan Khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Najib membabitkan dana 1MDB melahirkan kebimbangan mengenai pembocoran dokumen siasatan.

Sehubungan itu beliau meminta siasatan penuh dibuat terhadap pembocoran dokumen berkenaan.

“Peguam Negara menekankan bahawa ini bukan persoalan whistle-blowing kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan.

“Suatu lagi isu yang membimbangkan adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri,” katanya.

Beliau merujuk kepada pendedahan terbaharu Wall Street Journal bertajuk ‘Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib’ bertarikh 7 Julai.

Menerusi laporannya, WSJ memetik sumber terdekat dengan pasukan siasatan yang memaklumkan bahawa salah satu daripada enam akaun yang dibekukan adalah milik Najib.

Dalam pada itu Peguam Negara turut menyatakan kebimbangannya mengenai sindiran yang mengaitkan beliau dengan agenda politk tertentu.

“Peguam Negara menekankan bahawa tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi itu ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, Gani mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Najib membabitkan dana 1MDB.

Pasukan itu turut dianggotai Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

UTAMAEDITORIAL1MDBAkaun Yang Dibeku Bukan Milik Najib - Peguam Negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium