Arab Saudi iktiraf Malaysia, jadikan model pengurusan haji - pakdin.my

jemaah-haji

Sistem pengurusan jemaah haji Malaysia diiktiraf sebagai model terbaik yang perlu dicontohi jemaah haji dari negara lain bagi memastikan kelancaran ibadah umat Islam di tanah suci Mekah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengiktirafan itu dinyatakan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz ketika pertemuan dengan semua delegasi wakil negara, pada musim haji baru-baru ini.

“Saya mewakili kerajaan Malaysia serta semua perwakilan negara yang lain mengadap Raja Salman dan ketika itulah beliau memuji sistem pengurusan jemaah haji Malaysia yang sangat teratur, tertib dan berdisiplin.

“Malah, selepas insiden rempuhan di Mina, media di sana juga memberi liputan mengenai pengurusan jemaah haji Malaysia yang disifatkan sangat bagus kerana mencakupi semua aspek termasuk penginapan, makan minum, kesihatan dan kewangan.

“Tidak seperti jemaah haji dari negara lain, jemaah haji Malaysia hanya perlu memberi fokus kepada ibadah mereka semata-mata tanpa memikirkan masalah lain dan ini bukti pengurusan yang cemerlang dilaksanakan oleh Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari peringkat Antarabangsa di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Asyraf Wajdi berkata walaupun terdapat beberapa permasalahan yang timbul seperti jemaah haji hilang atau tersesat di Mina, ia dapat diselesaikan segera oleh 585 petugas Tabung Haji di tanah suci ketika itu.

“Pengiktirafan ini sangat bermakna buat kita kerana ia juga adalah satu manifestasi dalam akhlak al-Quran iaitu patuh kepada arahan dan peraturan demi kebaikan semua,” katanya.

UTAMABERITAArab Saudi iktiraf Malaysia, jadikan model pengurusan haji

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium