Bajet 2012: Bayaran Khas Rm3,000 Kepada Anggota Keselamatan, Duda Dan Balu Yang Berkhidmat Semasa Darurat - pakdin.my

Kerajaan Jumaat mengumumkan bayaran khas sebanyak RM3,000 setiap orang kepada hampir 62,000 orang bekas anggota pasukan keselamatan serta duda dan balu mereka yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bayaran khas sebagai mengenang jasa itu juga termasuk kepada lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang mana jasa mereka sering dinafi dan diperlekeh sesetengah pihak ketika ini.

“Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi, kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya kerana sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan rakyat Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat di sini.

Najib berkata, bekas anggota keselamatan itu terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.

Beliau berkata bagi memastikan anggota tentera fokus dalam menjalankan tugas, kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta di bawah program ‘Army Care’ untuk menaik taraf dan menyelenggara kem dan kuarters tentera di seluruh negara.

Katanya tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif dalam kalangan anggota.

Bagi meringankan beban 175,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, Najib berkata kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka dengan dana sebanyak RM50 juta.

“Program latihan khusus itu membolehkan mereka yang sudah bersara tanpa pencen menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menyediakan peruntukan khas berjumlah RM200 juta dalam usaha bagi memastikan integriti dan wibawa pasukan polis kekal terjunjung tinggi.

Beliau berkata negara memerlukan pasukan polis yang moden dengan latihan yang sesuai dengan era baru, menual teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih.

“Susulan ucapan saya sempena Hari Malaysia, 16 Sept lepas, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitk negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan dan negara dan kebebasan individu akan memerlukan tugas kepolisan dalam masyarakat yang moden dan terbuka.

“Falsafah kepolisan yang dibentuk dalam era ‘insurgency’ dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini,” katanya.

Najib berkata untuk perbelanjaan pembangunan Polis Diraja Malaysia, tambahan dana berjumlah RM442 juta akan diperuntukkan tahun hadapan, di mana antara projek yang bakal diilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.

UTAMABERITABajet 2012: Bayaran Khas Rm3,000 Kepada Anggota Keselamatan, Duda Dan Balu Yang...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium