BANJIR: Kerajaan Kelantan Diharap Beri Kerjasama Sepenuhnya Dalam Membantu Mangsa - pakdin.my

najib-ahmad-yakob-mb-kelantan-banjir

Kerajaan negeri Kelantan diharap memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha kerajaan persekutuan untuk membantu mangsa banjir besar di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerjasama tersebut termasuklah menyediakan tanah untuk dijadikan tapak bagi dibina rumah kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir.

“Kita berharap kerjasama daripada kerajaan negeri supaya menyediakan tapak rumah (tanah dalam bidang kuasa kerajaan negeri) dan bila sudah sediakan tapak rumah, insya-Allah kita akan bina rumah untuk mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mensyukuri Tahun Baharu 2015 di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 di sini, malam ini.

Terdahulu Perdana Menteri menunaikan solat Maghrib, solat hajat dan solat Isyak berjemaah bersama mangsa-mangsa banjir, yang diimamkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri yang dalam lawatan dua hari berturut-turut sejak semalam bagi meninjau kesan banjir yang disifatnya malapetaka besar berlaku di Kelantan, berkata kerajaan persekutuan sedang membuat taksiran jumlah rumah yang hilang atau rosak teruk akibat banjir di semua daerah yang terlibat, paling teruk di Kuala Krai.

Beliau berkata langkah segera yang dilakukan bagi membantu mangsa terbabit adalah menyediakan khemah kerana sekolah yang menjadi tempat mereka berlindung akan digunakan untuk sesi persekolahan pertengahan bulan ini.

Katanya sebelum rumah kekal dapat dibina, kerajaan akan membina rumah sementara dalam bentuk blok untuk menempatkan mangsa banjir.

Perdana Menteri berkata banyak lagi yang perlu kerajaan lakukan bagi menangani masalah banjir yang melibatkan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

“Di Kemaman (Terengganu yang beliau lawati pagi tadi) untuk projek tebatan banjir, mereka minta RM400 juta, itu satu daerah sahaja, cuba bayangkan di Kelantan ini berapa daerah (10 jajahan/daerah) yang dilanda banjir sudah tentu peruntukannya agak besar.

“Tak mungkin boleh kita lakukan dalam masa yang singkat tapi mungkin secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata projek tebatan banjir itu perlu dilakukan kerana sekali banjir yang besar seperti ini kerugian pada peringkat individu dan kerajaan adalah amat besar.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa manusia perlu lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dengan tidak menebang pokok sewenang-wenangnya untuk mendapatkan keuntungan.

“Kalau nampak pokok jangan hanya nampak untung, pokok ada juga peranannya, kalau kita mengkhianati alam sekitar kita, inilah bencana akan menimpa kita,” katanya.

UTAMABANJIR: Kerajaan Kelantan Diharap Beri Kerjasama Sepenuhnya Dalam Membantu Mangsa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium