BANJIR: Operasi bot ekspres, perahu tambang dihentikan – Alfred Jabu - pakdin.my

Semua pengusaha tambang dilarang beroperasi, bagi bot ekspres larangan hanya melibatkan laluan Kuching-Sibu

banjir-sarawak-alfred-jabu

KUCHING: Operasi bot ekspres dari Kuching ke Sibu dihentikan sementara susulan arus sungai deras dan bergelora di sepanjang laluan Muara Tebas dan Kuala Rajang.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata arahan itu dikeluarkan demi keselamatan penumpang dan pengusaha bot ekspres.

Selain itu, menurut Jabu atas nasihat daripada Lembaga Sungai Sarawak (LSS), semua pengusaha perahu tambang turut diarahkan menghentikan operasi sehingga notis lanjut daripada LSS.

“Disebabkan arus sungai Sarawak kini dalam keadaan yang berbahaya untuk operasi perahu tambang maka LSS terpaksa mengarahkan pengusaha menghentikan operasi bermula sekarang sehingga notis lanjut.

“Bagaimanapun perkhidmatan bot ekspres masih lagi dibenarkan beroperasi melainkan bagi laluan Kuching ke Sibu,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan terkini banjir di Sarawak, Jabu berkata setakat ini sebanyak 24 pusat pemindahan telah dibuka masing-masing 16 di Kuching, enam di Samarahan dan satu di Limbang serta Mukah melibatkan 3,458 orang dan 889 keluarga.

Daripada 55 sekolah yang dikenal pasti mengalami banjir, 33 sekolah diarahkan tutup sementara melibatkan enam sekolah di Padawan, sembilan di Serian, tujuh di Limbang, lima di Bau, dua Baram dan masing-masing satu sekolah di Lawas, Miri dan Mukah.

“Ksemua sekolah yang diarahkan tutup ini hanya akan dibuka semula setelah lantai bilik darjah kering dan jalan menuju ke sekolah dapat dihubungi dengan selamat oleh guru dan pelajar,” ujarnya.

Dalam pada itu Jabu turut meminta rakyat di negeri ini khasnya di sekitar bandar raya Kuching agar tidak panik kerana paras air sungai masih berada pada paras selamat.

Malah menurutnya, berdasarkan kepada pengalaman serta kerjasama daripada semua petugas di Baraj Kuching, LSS dan agensi-agensi lain yang berkaitan, pihaknya meramalkan bahawa sistem baraj adalah selamat dan berjaya menyelamatkan bandar raya Kuching daripada dilanda banjir.

“Setakat ini semua pintu baraj mengawal pengaliran masuk dan keluar air dengan efektif dan mampu meminimumkan risiko banjir terutama di kawasan hulu baraj.

“Kita amat bergantung kepada baraj kita dan akan melakukan pemantauan yang konsisten dari semasa ke semasa bagi memastikan paras air berada dalam keadaan yang selamat,” ujarnya.

UTAMABERITABANJIR: Operasi bot ekspres, perahu tambang dihentikan - Alfred Jabu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium