BANJIR: Pembalakan, Pembukaan Tanah Antara Faktor Banjir Besar Di Kelantan

Projek pembalakan di Kelantan: Ngeh, Nga terbabit?

banjir-nga-ngeh-balak
Lihat berita seterusnya

Banjir lumpur. Dua perkataan mudah disebut rata-rata mangsa apabila diminta menceritakan bencana banjir besar yang membawa banyak kemusnahan kepada Kelantan.

Dari mana lumpur itu datang?. Lantas mereka percaya lumpur itu dari kawasan bukit bukau di Ulu Kelantan berikutan banyak kawasan hutan ‘diterangkan’ untuk ladang kelapa sawit dan tanaman sayur-sayuran.

Paras air naik mendadak dan deras, dari mana?. Terpacul dari mulut mereka, hujan sangat lebat di kawasan Ulu Kelantan dan pengondolan bukit bukau penyumbang kepada pergerakan arus deras umpama “Tsunami Darat” menenggelam kawasan rendah dan menghayutkan objek di hadapan ‘kepala air’.

Banjir yang melanda ke semua 10 jajahan di Kelantan itu memaksa lebih 104,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Hujan lebat berterusan selama 48 jam di kawasan Ulu Kelantan — Gua Musang dan Kuala Krai — menterjemahkan kebimbangan penduduk apabila jajahan Gua Musang dilanda banjir besar mulai 22 Dis, 2014.

Dalam tempoh yang singkat, limpahan air Sungai Galas dengan arus yang deras ‘menenggelamkan’ bandar lama Gua Musang dan beberapa kampung sekitarnya.

Bencana itu melumpuhkan aktiviti di bandar lama Gua Musang dan kampung-kampung berhampirannya akibat dinaiki air antara dua dan lima meter, turut menyebabkan berpuluh kenderaan tenggelam.

 

 

TIDAK SANGKA AIR NAIK MENDADAK

Rata-rata penduduk tidak menyangka banjir begitu besar bukan sahaja menenggelam banyak rumah tetapi turut menghanyutkan beberapa buah rumah di hadapan mata mereka.

“Air naik begitu mendadak. Kami bergegas menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi. Namun ramai yang terperangkap umpama duduk di sebuah pulau yang di kelilingi air berarus deras. Memang mencemaskan,” itu yang dapat digambarkan oleh seorang penduduk Kampung Lembaga Gua Musang, Ramli Ibrahim, 55 tahun.

banjir-perjanjian balak-nik-aziz-nga

Beliau melihat pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang panik dengan insiden luar biasa itu.

“Kami yakin banjir lumpur “seakan warna teh tarik” dan warnanya sama dengan tanah bukit, datang bersama air yang menuruni bukit bukau di kawasan Ulu Kelantan, mungkin banyak tanah runtuh di bukit yang digondolkan,” katanya.

Ramli berkata banyak batang balak hanyut memasuki kampung dan menghentam rumah penduduk hingga roboh manakala balak yang hanyut mengikut arus sungai tersangkut di jambatan Sungai Galas, menyekat aliran air dan meningkatkan kuasa terjahan arus deras ke kawasan daratan.

Seorang lagi mangsa berkongsi pengalamannya, Bidah Abdullah, 65, berkata belum pernah berlaku dalam sejarah kejadian banjir sebelum ini melanda begitu kuat sekali hingga turut menghanyutkan rumahnya.

Beliau berkata air memang naik dengan cepat hingga semua barangan penting juga tidak sempat diselamatkan dan dihanyutkan bersama rumah.

MALAPETAKA BESAR

banjir-kelantan-musnah

Banjir terburuk yang dianggap malapetaka besar, terus mengganas ke jajahan Kuala Krai, gabungan air dari tiga sungai iaitu Sungai Lebir, Sungai Nenggiri dan Sungai Galas bercantum di Kemubu di Kuala Krai, membentuk Sungai Kelantan — itulah ‘Tsunami Darat’ menjadikan sekitar jajahan itu bagaikan ‘lautan’ iaitu air naik setinggi tingkat tiga bangunan Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama.

Limpahan air deras yang mengganas mulai 22 Dis, 2014 bukan sahaja menghanyutkan banyak rumah malah beratus rumah dan harta benda lain rosak teruk manakala ribuan penduduk menyelamatkan diri ke kawasan tinggi termasuk mendaki bukit.

Sebahagian Hospital Kuala Krai turut dinaiki air dan bandarnya lumpuh ‘ditenggelami’ banjir dan diburukkan lagi dengan bekalan elektrik dan air bersih terputus.

Memeritkan lagi apabila jalan darat yang menghubungkan Kuala Krai-Kota Baharu terputus ditenggelami banjir menyukarkan penghantaran bantuan melalui jalan darat.

Penggunaan bot pula menghadapi kesukaran kerana arus deras manakala cuaca buruk menjadi kekangan kepada helikopter untuk sampai ke lokasi tertentu, apapun pasukan penyelamat bekerja keras memastikan bantuan sampai kepada mangsa.

Tinjauan di jajahan Kuala Krai selepas banjir surut, menggambarkan kawasan itu ibarat diserang garuda. Itulah yang dapat digambarkan keadaan kemusnahan teruk di beberapa buah kampung di jajahan itu.

Ia juga mengingatkan tragedi tsunami yang pernah berlaku di negara ini pada 2004 apabila melihat kemusnahan teruk yang dialami penduduk di perkampungan berkenaan.

Dalam tempoh yang sama, jajahan lain iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Machang, Tumpat, Kota Baharu dan Jeli teruk akibat banjir.

Seorang peniaga di bandar Kota Baharu, Ayob Salleh, 55, berkata premis perniagaannya dipenuhi lumpur yang dibawa arus banjir dari Ulu Kelantan.

“Ini kerana kawasan lain yang berhampiran Sungai Golok keadaan air adalah agak jernih, macam sekitar Bendang Pak Yong di Tumpat yang dilanda banjir akibat limpahan Sungai Golok, airnya jernih. Kami duduk atas rumah boleh nampak ikan berenang dalam air,” katanya yang tinggal di Kampung Pauh Sepanjar, Tumpat.

PEMBALAKAN DAN PENEBANGAN HUTAN SKALA BESAR

banjir-balak-husam

Mengulas bencana banjir itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Zulhazman Hamzah berkata antara faktor berlakunya banjir lumpur yang teruk itu ialah penebangan hutan dalam skala besar di kawasan berbukit di Ulu Kelantan untuk tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran.

Pembalakan haram juga menyumbang kepada hakisan tanah serta menjadikan sungai cetek dan berlumpur.

Hujan lebat yang berterusan beberapa hari menyebabkan aliran air dari kawasan tanah tinggi itu terlalu pantas meluru ke sungai-sungai kerana tiada penahan semulajadi iaitu pokok.

“Apabila tiada pokok untuk memegang tanah maka berlaku runtuhan tanah dan dibawa bersama arus ke sungai-sungai hingga terjadilah banjir lumpur dan kalau kita lihat keadaan airnya seperti ‘teh tarik’ itu menunjukkan terdapatnya lumpur,” katanya.

Dr Zulhazman berpendapat pembukaan tanah untuk pertanian itu menyebabkan banyak pokok balak ditebang sekaligus tiada lagi ‘benteng semulajadi”.

Di tanah tinggi Lojing yang bersempadan dengan Cameron Highlands, Pahang, pembukaan ladang sayur-sayuran dalam skala besar, telah menyumbang kepada ancaman hakisan tanah dan banjir.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari UMK mendapati kawasan pembiakan pelbagai spesies bunga raflesia semakin dihimpit oleh penanam sayur yang ghairah mencari keuntungan tanpa memikirkan kesannya terhadap alam sekitar.

“Kita menjalankan penyelidikan serta aktiviti pemuliharaan flora dan fauna khususnya bunga Rafflesia di kawasan Lojing dan sememangnya kita tahu keadaan yang berlaku di Lojing,” katanya.

Beliau berkata atas permohonan UMK bagi pemuliharaan khazanah alam itu, kerajaan negeri telah mewartakan kawasan seluas 404 hektar untuk tujuan berkenaan, katanya.

Dr Zulhazman menasihati semua pihak harus bersama-sama bertanggungjawab untuk memelihara hutan khazanah alam semula jadi bagi mengelak malapetaka besar berulang.

Leave a Reply