BANJIR: PR bagai cacing kepanasan lihat kerjasama PAS dengan Pusat

najib-banjir-kelantan

Penubuhan jawatankuasa bersama paca banjir antara kerajaan Pusat dan Kerajaan PAS Kelantan beberapa hari lalu mula merunsingkan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat.

PKR Kelantan mula bersuara dengan menyifatkan kerjasama membabitkan dua parti politik itu sebagai ‘tidak perlu’.

Malah, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir mahu pimpinan PAS dan UMNO supaya membezakan antara isu politik dan kebajikan rakyat.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan PAS supaya tidak terjerat dengan mainan politik UMNO.
“Sekarang bukan masanya nak bercakap tentang soal politik, fokus kepada soal pembangunan semula Kelantan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat untuk bantu kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu bencana alam…jadi tak perlu dikaitkan dengan Umno ataupun PAS,” seperti dilaporkan mStar Online.

Kerjasama dua parti politik itu juga telah terjalin melalui penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan pada 26 Disember lalu.

Rentetan itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan juga menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bagi memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri itu.

Jelas, Abdul Aziz yang ‘tidak senang’ dengan perkembangan itu sebaliknya mendakwa kerajaan Persekutuan seolah-olah tidak ikhlas membantu Kelantan yang kini berada dalam kesusahan.

“UMNO dan kerajaan Pusat janganlah nak ugut Kelantan, jangan ambil kesempatan untuk kepentingan politik.

“Kalau nak bantu, jangan sentuh soal politik. Bantu dengan ikhlas,” katanya.

Sikap menentang Abdul Aziz terhadap usaha kerjasama Pusat dan Kelantan memang boleh diramal kerana bukan sahaja PKR tetapi DAP juga sedar ‘perpaduan’ UMNO dan PAS boleh mengugatkan kekuatan PR.

Sepatutnya, PKR dan DAP yang lebih banyak membantu PAS ketika Kelantan dilanda musibah tetapi pemimpin kedua-dua parti itu lebih banyak bercakap daripada buat kerja.

Jika tidak boleh membantu, lebih baik PKR diam dan bukan ibarat cacing kepanasan melihatan kerjasama kerajaan Pusat dan Kelantan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob tentu lebih faham situasi di negeri itu dan sudah beberapa kali beliau mengeluarkan kenyataan memerlukan setiap bantuan yang ada.

Ibarat orang lemas, dengan sehelai rambut pun mereka berpaut.

Namun, PKR cuba memutuskan rambut itu kerana bimbang PAS beralih kalish kepada UMNO dan meninggalkan PR.

PKR dan DAP kena ingat, mereka tidak boleh memperalat PAS untuk mengukuhkan kuasa di negeri-negeri lain yang suara PAS dianggap tidak kuat.

PKR kena sedar di Selangor, PAS boleh menuntut jawatan menteri besar tetapi mereka menghormati PKR.

Malangnya, kepercayaan PAS kepada PKR tidak dibalas setimpalnya.

Andai PKR tidak boleh memberikan bantuan. Lebih baik mereka berdiam diri daripada bising ibarat baung di bawah bangkar.

Kepada pimpinan PAS Kelantan, inilah masa menilai erti pakatan dalam PR.

Jangan hanya ketika kawan ketawa berkawan, tetapi ketika menangis, mereka menjauhkan diri.

Leave a Reply