Bekas Perdana Menteri Singapura Tidak Mengaku Sifatkan Islam Agama Berbisa

SINGAPURA: Bekas pemimpin Singapura yang lantang bersuara, Lee Kuan Yew, semalam menafikan yang beliau menggelar Islam sebagai ‘agama berbisa’ mengikut apa yang terkandung dalam kabel diplomatik Amerika yang dibocorkan oleh WikiLeaks. Satu daripada ratusan kabel dari Kedutaan Amerika di Singapura didedahkan memetik Lee sebagai menyifatkan Islam sebagai agama berbisa dalam pertemuannya dengan Senator Hillary Clinton pada 2005. “Ini adalah pembohongan,” kata Perdana Menteri pertama Singapura yang berusia 87 tahun itu yang juga ahli politik veteran dalam satu kenyataan.

Lee berkata, beliau turut melihat kembali nota Kementerian Luar ketika pertemuan dengan diplomat Amerika dan tiada rekod yang menunjukkan beliau menggelar Islam sebagai berbisa atau berkata sesuatu yang menjurus kepada maksud itu.

“Saya bercakap mengenai pelampau (Asia Tenggara) seperti kumpulan Jemaah Islamiah dan pendakwah jihad yang menghasut mereka.

“Mereka keras kepala dan mahu kita bersetuju dengan mereka. Jadi, Islam mereka adalah versi sesat dan majoriti Islam di Singapura tidak mengikutinya,” katanya.

Semasa pertemuan itu, seorang lagi penggubal undang-undang Amerika dalam parti Bill Clinton bertanya mengenai kumpulan pengganas antarabangsa, menurut kabel yang ditandatangani oleh Duta Amerika ke Singapura, Frank Lavin.

Ia berkata, Lee menjawab bahawa Islam ortodok kuat dan mampu merekrut sukarelawan untuk kumpulan pelampau.

Beliau memberitahu pengalaman Singapura pada 2001 dan 2002 menangani komplot pengganas Jemaah Islamiah di Singapura dan menyifatkan Islam sebagai agama berbisa.

Majoriti penduduk Singapura berbangsa Cina dengan kaum minoriti termasuk Melayu yang kebanyakannya Muslim membentuk 13.4 peratus daripada lima juta penduduk keseluruhan.

Komen Lee mencetuskan kemarahan di kalangan komuniti online Singapura yang kini memainkan peranan besar dalam perdebatan awam negara.

“LKY (Lee Kuan Yew) tidak patut mengeluarkan kenyataan seperti itu,” kata Lee Rou Xuan di laman Facebook dalam bahagian The Online Citizen. – AFP

Leave a Reply