Bekas setiausaha MB Selangor keluar PKR, sertai SUPP

Prof Dr Razali Bolhi

KUCHING: Bekas setiausaha eksekutif Menteri Besar Selangor dan juga ahli politik terkenal, Prof Dr Razali Bolhi bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Menurut Razali, beliau meninggalkan PKR setelah tidak bersetuju atas dasar perjuangan segelintir pemimpin parti pakatan itu yang menyokong kempen BERSIH 3.0, meskipun hubungannya dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah baik.

“Saya percaya hanya parti berdasarkan tempatan Sarawak sahaja dapat mewakili negeri ini di Parlimen,” katanya sambil menyokong konsep 1Malaysia dan parti pembangunan.

Razali berkata beliau menyokong pemansuhan ISA, meskipun beliau sendiri pernah ditahan di bawah ISA pada 1987 dan 1989.

“Bagi Sarawak adalah tidak sesuai sesebuah parti yang berorientasikan satu etnik mahupun satu kaum sahaja,” tegasnya di sini semalam.

Razali telah menyerahkan borang permohonan keahlian menjadi ahli SUPP bersama 19 orang pengikutnya kepada Timbalan Presiden SUPP dan Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Muara Mongkos pada 26 Ogos lalu.

Majlis itu dihadiri lebih 200 masyarakat Bidayuh Mongkos yang beragama Islam, Kristian dan mereka yang masih menganut kepercayaan asal.

Jamuan tersebut adalah dianjur oleh Persatuan Persaudaraan Dayak Islam (PEDI) di bawah kepimpinan Razali sebagai presiden persatuan itu.

PEDI dikenali sebagai Kuching United Dayak Islamic  Brotherhood UDIB telah didaftar pada 13 Februari lalu.

Persatuan terbabit dianggotai oleh ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai suku etnik Dayak (Iban, Bidayuh dan Orang Ulu).

Razali yang merupakan pengamal perubatan homeopati juga bekas naib ketua bahagian PKR Kuala Selangor.

Beliau ialah anggota penilaian kepada Malaysian Qualification Agency (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Beliau memiliki PhD dalam Sosiologi dari Pacific Western University, L A, California USA.

Artikel berkaitan:

Siapa Razali Bolhi yang dibenci oleh Faekah?

Leave a Reply