Benarkah kaum Cina di Persimpangan Jalan Untuk Menentukan Arah Politik? - pakdin.my

image

Memandangkan pilihan raya umum dijangka diadakan tidak lama lagi, antara persoalan besar yang bermain di fikiran kebanyakan pemerhati politik ialah berkaitan arah tuju kaum Cina di Malaysia dalam bidang politik.

 

Ada pihak berpendapat kaum Cina kini berada di persimpangan jalan manakala sesetengah yang lain pula, percaya kaum itu sebenarnya telah melintas jalan ke arah menyokong pembangkang berdasarskan keputusan pilihan raya umum pada Mac 2008 dan pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas.

 

“Kemungkinan itu tidak boleh ditolak, berdasarkan sentimen di lapangan. Anda boleh melihat perkara ini melalui pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas. Perkara ini boleh dilihat dengan cukup jelas. Ia mewakili sentimen keseluruhan kaum Cina di negara ini,” kata setiausaha agung Gerakan Teng Chang Yeow dalam temu bual dengan Bernama.

 

MCA dan Gerakan, yang mewakili kepentingan kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) di Semenanjung Malaysia, menerima pukulan teruk daripada segi populariti pengundi pada pilihan raya umum lepas. Malah, Gerakan terpelanting daripada kubunya di Pulau Pinang.

 

Mereka yang mendakwa bahawa sokongan kaum Cina terhadap BN telah menurun turut merujuk kepada prestasi lemah sebuah lagi parti komponan BN berasaskan kaum Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas, yang hanya memenangi dua daripada keseluruhan kerusi yang ditandinginya di kawasan bandar.

 

Teng berpendapat bahawa untuk menongkah perubahan ini, persoalan penting yang wujud sekarang ialah bukan sama ada kaum Cina masih berada di persimpangan jalan, tetapi lebih kepada bagaimana untuk menangani mereka, yang dikatakan telah “menyeberangi jalan”.

 

“Bagi saya, cabarannya ialah bagaimana hendak membuat setiap orang berfikir berlandaskan kepelbagaian kaum. Inilah satu-satunya cara untuk menarik mereka kembali, untuk mengelak arah aliran di mana sesuatu kaum itu akan memberi sokongan kepada parti tertentu,” katanya.

 

Ramai juga bertanya kenapakah sokongan kaum Cina terhadap BN boleh dikatakan semakin merosot. Pengatur strategi DAP, yang juga Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berpendapat bahawa antara sebab kemungkinan berlakunya perkara itu ialah kekurangan wibawa dalam kalangan parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina.

 

Beliau mendakwa bahawa MCA kehilangan sebahagian besar sokongan selepas terdedahnya skandal kewangan koperasi pengambilan deposit pada 1986.

 

Liew berkata walaupun MCA memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum 1990, 1995, 1999 dan 2004, tetapi ia terutamanya berpunca daripada dasar dan wawasan yang diperkenalkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Bagaimanapun, kata beliau, kini, kebanyakan mereka mula mempersoalkan rangka kerja dan dasar BN, khususnya berikutan kemunculan beberapa kelompok yang cenderung mengamalkan pendirian melampau.

 

Liew berkata untuk menentang keadaan itu, parti politik perlu mengetepikan pendekatan lama mereka dan menjadi parti yang lebih bersifat pelbagai kaum.

 

“Kini, kita tidak boleh lagi bercakap hanya mengenai politik kaum Cina. Kita perlu bercakap sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

 

Dr Ong Kian Ming, pensyarah dan penganalisis politik dari UCSI University, pula percaya ramai pengundi Cina telah mengubah selera, berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas.

 

“Pada PRU lepas, BN hanya mendapat 35 peratus (undi kaum Cina). Di Sarawak,BN hanya memperoleh 25 peratus undi kaum Cina. Keputusan pilihan raya negeri Sarawaklah yang mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa mereka telah mengubah haluan,” katanya.

 

Dr Ong berpendapat bahawa BN menghadapi kesukaran untuk menarik semula undi kaum Cina, termasuk di beberapa kawasan di Johor.

 

Bagaimanapun, katanya kesan perubahan selera kaum Cina mungkin terhad sifatnya di Sabah, kerana sebahagian besar kaum Cina di sana tinggal di Kota Kinabalu dan Sandakan, manakala sebuah lagi bandar besar, Tawau, hanya mempunyai 30 peratus pengundi Cina.

 

Beliau meramalkan DAP berkemungkinan menambah penguasaannya daripada 29 kepada 35 kerusi Parlimen, malah mungkin mampu mencapai sasarannya memenangi 40 kerusi Parlimen.

 

Dr Ong berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh memenangi antara 25 dan 30 kerusi Parlimen, manakala PAS pula mampu meraih 20 hingga 25 kerusi serupa.

 

“PAS mungkin kehilangan beberapa kerusi di Kedah, tetapi mungkin menang beberapa kerusi di Terengganu. Gerakan pula mungkin hanya tinggal satu kerusi Parlimen saja — Simpang Renggam.

 

MCA, yang kini memiliki 15 kerusi, mungkin tinggal antara 10 dan 12 kerusi sahaja, manakala MIC mungkin dapat mengekalkan kesemua empat kerusi yang disandangnya sekarang — Tapah, Cameron Highlands, Segamat dan Hulu Selangor.

 

SUPP pula akan mengalami tamparan paling teruk dan mungkin hilang antara empat dan lima kerusi Parlimen,” katanya.

 

Bagaimanapun, seorang pemerhati politik berkata cabaran paling besar yang dihadapi masyarakat Cina ialah dalam mengubah set minda mereka — untuk bersikap sebagai rakyat Malaysia sebenar dan berperilaku sebagai sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum.

 

Beliau berpendapat bahawa berdasarkan demografi sedia ada, jumlah penduduk Cina di Malaysia akan menurun kepada kira-kira 15 peratus menjelang 2040. Sejak merdeka pada 1957, jumlah penduduk Cina di negara ini ialah kira-kira 28 peratus, Melayu 55 peratus, India 7.3 peratus dan kaum lain 1.3 peratus.

 

Tetapi banci terbaru yang dibuat pada 2010 menunjukkan bahawa pengundi Cina merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi, dengan Melayu mencatat peratusan tertinggi iaitu sebanyak 52.4 peratus.

 

Oleh itu, kata beliau sekiranya seseorang itu menggunakan komposisi etnik sebagai kayu ukur untuk berhujah, 30 peratus perwakilan kaum Cina dalam Kabinet, bolehlah dianggap adil.

 

Pemerhati itu berkata walaupun mungkin ada orang yang ingin bercakap tentang kesaksamaan yang lebih baik atau ketiadaan kesaksamaan, hakikatnya, jumlah kaum Cina tidak boleh dijadikan modal untuk menyokongnya.

 

Daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, hanya 45 merupakan kerusi majoriti kaum Cina dan semuanya dimenangi DAP.

 

Oleh itu, persoalannya ialah bagaimanakah kaum Cina boleh diyakinkan bahawa mereka mempunyai perwakilan yang adil di negara ini, tanya beliau

UTAMABERITABenarkah kaum Cina di Persimpangan Jalan Untuk Menentukan Arah Politik?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium