BERANIKAH AZMIN DERHAKAI ‘DINASTI ANWAR’? - pakdin.my

Ko-jgn-lwn-toke-Azmin

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah akan bertanding bagi kerusi presiden dalam pemilihan parti itu yang akan bermula 25 April hingga 11 Mei ini, kata Setiusaha Agungnya Saifuddin Nasution.

“Ya, Anwar akan bertanding jawatan itu,” kata Saifuddin kepada sebuah portal berita online apabila diminta mengulas bayangan yang diberikan Anwar sebelum ini.

Dalam wawancara dengan portal berita online The Ant Daily baru-baru ini Anwar berkata, sejak setahun lalu isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, penyandang jawatan Presiden PKR sekarang asyik menyebut mahu menumpukan masa bersama cucu, selain kepada datuk kepada cucunya itu (Anwar).

Dengan keputusan Anwar ini bermakna Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali perlu berdepan dengan Anwar sendiri jika masih berhajat meneruskan niat bertanding merebut kerusi nombor satu PKR itu.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan ingin ‘naik pangkat’ dalam PKR Pusat dengan bertanding menentang Azizah bagi merebut jawatan presiden.

Azmin ketika ini sudah menduduki kerusi tertingggi dalam PKR Negeri Selangor sebagai Pengerusi Badan Perhubungan.

Namun walaupun di atas kertas beliau adalah ketua PKR negeri, namun Azmin tidak diberi muka dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, malah sumbangan beliau juga bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ apabila dinafikan sebarang peranan utama dalam perjuangan memastikan kemenangan pemimpin idolanya, Anwar di  Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang 23 Mac nanti.

Dalam pada itu, portal berita online The Malaysian Insider melaporkan seorang pemimpin kanan PKR mencabar Azmin untuk ‘downgrade‘ nawaitunya daripada bertanding kerusi presiden kepada mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandang dalam pemilihan kali ini.

Azmin sendiri yang memang sudah diketahui teguh taat setianya kepada Anwar boleh dijangka kemungkinan besar tidak akan menderhaka kepada ‘mahaguru’.

Namun, bagi jawatan nombor dua ini, ada berita bahawa anak kepada pemimpin idola Azmin, Nurul Izzah Anwar berminat untuk bertanding bagi membolehkan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai itu berjuang dengan lebih efektif di sisi papanya.

Jika itu menjadi realiti maka Azmin pasti tersepit dalam situasi “diluah mati bapak ditelan mati anak”.

Turut dikatakan mengintai penuh minat untuk merebut jawatan timbalan presiden yang sedang disandang Ahli Parlimen PKR Gombak itu ialah musuh dalam selimut yang tidak jemu-jemu ‘membuli’ beliau iaitu Khalid Ibrahim.

Pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul mengumumkan proses pemilihan parti dimulakan lebih awal dengan penamaan calon peringkat pusat akan diadakan pada 29 Mac manakala peringkat cabang akan diadakan mengikut zon mulai 4 hingga 13 April.

Manakala tempoh pengundian akan berlangsung selama tiga minggu bermula 25 April dan berakhir 11 Mei.

Johari berkata, pihaknya akan memastikan keputusan penuh dapat diumum secepat mungkin bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“Keputusan penuh barisan kepimpinan baru PKR selewat-lewatnya akan diketahui pada 13 Mei ini selepas pengundian di seluruh negara selesai pada 11 Mei,” kata Johari pada sidang medianya.

“Pemilihan kali ini melibatkan semua anggota iaitu seorang anggota untuk satu undi.

“Syarat minima ahli yang ingin mengundi mesti menganggotai parti sekurang-kurang 12 bulan atau setahun,” Johari menjelaskan.

Proses pengundian akan diadakan serentak bagi jawatan kepimpinan di peringkat bahagian dan nasional.

Baru-baru ini PKR meminda peraturan pemilihannya bagi memastikan pemilihan yang bersih dan sihat.

Di bawah peraturan baru, setiap individu ahli parti yang layak kini boleh menamakan diri mereka sendiri sebagai calon, dan tidak perlu lagi bergantung kepada cadangan daripada bahagian.

Pemilihan PKR tahun 2010 kecoh dengan tuduhan amalan nepotisme dan penipuan, mengakibatkkan beberapa pemimpinnya, termasuk Datuk Zaid Ibrahim yang bertanggungjawab menggubal rangka kerja Pakatan Rakyat, meninggalkan parti itu.

UTAMAPILIHAN RAYABERANIKAH AZMIN DERHAKAI ‘DINASTI ANWAR’?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium