BN persoal KDEB cagar 15% saham dalam Syabas @ZinMohamed - pakdin.my

Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoalkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang didakwa mencagarkan 15 peratus sahamnya di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk kegunaan tertentu.

Koordinator BN Selangor, Datuk Sri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, saham yang dimiliki KDEB dalam Syabas itu dicagarkan kepada sebuah bank bertujuan mendapatkan pinjaman sebanyak RM250 juta.

Menurutnya, memandangkan KDEB adalah anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC), Kerajaan Negeri perlu menjelaskan tujuan pinjaman dilakukan.

Beliau juga turut mempersoalkan niat sebenar pengambilalihan Syabas yang dilihat seolah-olah menutup kelemahan Kerajaan Negeri.

“Adakah begitu daif Kerajaan Negeri sehinggakan terpaksa mencagarkan saham KDEB di dalam Syabas untuk membuat pinjaman.

“Jika benar ini berlaku, mampukah Kerajaan Negeri mengambil alih Syabas kerana saham 15 peratus tidak mampu diuruskan dengan baik, inikan pula sebuah syarikat pengagihan air yang begitu penting sekali,” katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini, semalam.

Mohd Zin juga mendakwa, pihak pengurusan atasan KDEB mengeluarkan surat arahan kepada Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) pada 2011 supaya mengurangkan pengeluaran air terawat daripada 145 juta gelen sehari kepada 120 juta gelen sehari.

Beliau berkata, tindakan tersebut menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan Abass mengendalikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Persoalannya, kenapa beliau mengeluarkan arahan tersebut? Adakah KDEB atau Kerajaan Negeri ingin sabotaj rakyat Selangor dan Syabas?

Kenapa Syabas dipersalahkan sedangkan kawasan yang mengalami gangguan dikendalikan Abass? Siapakah yang mengarahkan beliau supaya mengeluarkan arahan tersebut.

“Saya minta supaya pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan dan menjawab persoalan ini kerana sebelum ini Kerajaan Negeri hanya menuding jari menyalahkan pihak lain jika berlakunya krisis air terutamanya di kawasan Kajang dan Balakong,” katanya.

Melalui maklumat yang beliau peroleh juga, Kerajaan Negeri terpaksa membuat pinjaman sehingga RM300 juta setahun dengan kadar faedah RM8 juta bertujuan memberikan air percuma ini.

Namun begitu katanya, Kerajaan Negeri sebenarnya tersepit dalam janji-janji mereka kerana bukan semua penduduk menikmati air percuma yang dijanjikan.

“Kerajaan Negeri sebenarnya tidak mampu mentadbir dan menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan isu penting seperti pengurusan air tidak dapat diselesaikan dengan mudah.

“Langkah terakhir mereka hanya mengelirukan rakyat. Saya juga akan mendedahkan beberapa kelemahan lain supaya rakyat Selangor dapat menilai sikap sebenar Kerajaan Negeri pimpinan (Tan Sri) Khalid Ibrahim (Menteri Besar) ini,” katanya.

 

 

 

UTAMABERITABN persoal KDEB cagar 15% saham dalam Syabas @ZinMohamed

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium