Dr. M bimbang kecenderungan memutar-belit fakta - pakdin.my

NAJIB Tun Razak memimpin tangan Tun Dr. Siti Hasmah tanda hormat sambil diperhatikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Rosmah Mansor ketika Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 30 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan sesetengah pihak yang semakin serius cuba memburukkan-burukkan imej pemimpin yang berjuang untuk kemerdekaan negara.

Kata Dr. Mahathir, selain kontroversi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menghina pejuang lampau, beliau juga pernah dimaklumkan terdapat pelajar sekolah yang diajar bahawa tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Onn Jaafar adalah pengkhianat negara.

‘‘Saya khuatir kerana kecenderungan ini sudah semakin rancak malah ada yang sehingga ke tahap mendewa-dewakan komunis sedangkan gerila itu telah membunuh ramai anggota keselamatan yang berjuang untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Dr. Mahathir menambah, selain tidak menjangkakan kecenderungan menghina pejuang kemerdekaan negara itu boleh wujud di negara ini, beliau juga terkejut dan terkilan kerana Pas dilihat memulakan kecenderungan itu.

Ketika ditanya apakah yang perlu dilakukan dalam menangani kecenderungan itu, Dr. Mahathir menjelaskan, kerajaan wajar memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat mengenai siapakah sebenarnya kumpulan gerila komunis.

‘‘Perjuangan mereka adalah untuk menjajah negara ini dan menjadikan negara ini negara komunis. Itu bukan perjuangan kemerdekaan seperti Tun Abdul Razak, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain,” katanya.

UTAMABERITADr. M bimbang kecenderungan memutar-belit fakta

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium