Dr Mahathir Nafi Beliau Anti Hadis

“Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, Allah SWT. Saya akan diadili oleh Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh Allah SWT tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya,” katanya.

tun-mahathir-kaabah

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dilabelkan sebagai seorang yang ‘anti hadis’ oleh orang-orang yang takut apabila pendapat agama mereka boleh dipersoalkan.

“Mereka hendak segala-gala yang diperkatakan oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa yang wajib diterima seperti firman Allah SWT dalam Al-Quran,” kata beliau di blognya, chedet.cc .

Dr Mahathir berkata beliau dikritik sebagai anti hadis kerana didakwa telah menyokong Dr Kassim Ahmad, seorang ahli politik dan ahli akademik kontroversi.

“Kita tahu adanya hadis yang sahih dan yang lemah.

“Apabila hadis berbeza atau bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Al-Quran, yang mana satukah yang kita harus terima? Jika kita pegang kepada Al-Quran, apakah ini salah?,” kata bekas Perdana Menteri berusia 88 tahun ini.

Beliau mengkritik mereka yang fasih dalam bahasa Arab, yang juga mungkin boleh bercanggah dalam pendekatan mereka terhadap agama.

“Apakah kita wajib terima apa saja yang disampaikan oleh orang yang berbahasa Arab yang mempelajari agama walaupun jelas bertentangan dengan ajaran Islam dalam Al-Quran dan hadis.

“Apakah kita mesti iktiraf siapa sahaja yang mendakwa dirinya sebagai ulama. Apakah semua ahli persatuan ulama benar-benar ulama,” katanya.

Beliau menambah, adalah berbahaya dan mengelirukan apabila sesiapa sahaja, hanya kerana fasih dalam bahasa Arab dan mendapat ijazah sarjana dalam bidang agama Islam, diberi gelaran ulama.

“Saya tahu bahawa jawapan kepada tulisan saya ini ialah saya anti-hadis, anti Al-Quran bahkan kafir,” katanya.

“Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, Allah SWT. Saya akan diadili oleh Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh Allah SWT tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya,” katanya.

Dr Mahathir menjadi tajuk kontroversi selepas beliau merasmikan satu seminar yang dianjurkan oleh Kassim bertajuk “Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian”, baru-baru ini .

Beliau juga mempertahankan Kassim pada sidang akhbar dengan berkata ulama itu dilabel anti hadis oleh mereka yang gagal untuk berdebat dengan beliau mengenai isu-isu agama.

Leave a Reply