Dua Emas ‘Paling Win’ Sultan Mizan

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengemudi Malaysia meraih dua pingat emas dan satu perak dalam perlumbaan kuda lasak sejauh 80 kilometer yang berakhir di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Setiu, hari ini.

Sultan Mizan, yang menunggang kuda Rtes Annaversary, menamatkan perlumbaan di tangga pertama untuk meraih pingat emas individu, diikuti rapat Mohd Bulkhari Rozali (JQ Tuan Junior) yang memenangi perak individu.

Sekalipun Mohammad Fuad Hashim (Mora Makaka) berakhir di tangga ketiga, peraturan pertandingan tidak membenarkan peserta dari negara sama memenangi semua pingat ditawarkan lantas menafikannya pingat gangsa.

Bagaimanapun, ketika penunggang negara Mohd Adhwa Embong (Mora Franka) dan peserta wanita Azizatul Asma Abudllah (Mora Tishaka) turut menamatkan perlumbaan itu, pegawai mengumumkan pingat emas berpasukan buat Malaysia.

Penunggang keenam negara, Mohd Yusran Yusuf tidak menamatkan perlumbaan di pertengahan saingan selepas kudanya Castlebar Twilight mengalami kecederaan.

Sultan Mizan bertitah kerja keras sepasukan menjadi kunci kejayaan pasukan negara.

“Kami bekerja rapat, bergerak bersama dan strategi kami menjadi. Sekalipun ia perlumbaan yang panjang, ia tidak menjemukan atau meletihkan,” titah baginda.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada semua tidak kira jurulatih, pengendali kuda, pakar veterinar, pegawai dan kerajaan negeri kerana membantu kami mencapai sasaran dan bekerja tanpa jemu bagi memastikan kejayaan serta kelancaran perlumbaan ini,” titahnya.

Ia kali pertama Sultan Mizan memenangi pingat emas dalam acara kuda lasak pada Sukan SEA sekalipun Malaysia meraih dua pingat emas pada Sukan SEA Myanmar 2013.

Baginda juga tercatat dalam sejarah sebagai Sultan pertama menyertainya.

One Reply to “Dua Emas ‘Paling Win’ Sultan Mizan”

Leave a Reply