Duta Malaysia Minta Media Indonesia Tidak Berat Sebelah Lapor Penahanan Nurul Izzah - pakdin.my

nurul-izzah-tempo-indonesia

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meminta media Indonesia tidak membuat laporan berat sebelah dengan memetik dakwaan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kononnya ditahan atas dendam politik.

Beliau menegaskan dakwaan itu tidak benar kerana Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya telah menjelaskan bahawa Nurul Izzah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan kerana membuat pelbagai dakwaan dalam perhimpunan haram “#Kita Lawan” di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Beliau ditahan bagi membantu siasatan kerana membuat pelbagai tohmahan terhadap badan kehakiman ketika menyertai perhimpunan haram itu dan ia tidak ada kaitan dengan isu perbahasannya dalam Parlimen (Dewan Rakyat) seperti dilaporkan oleh media di negara ini,” katanya dalam temu ramah dengan Akhbar Tempo di pejabatnya di sini hari ini.

Akhbar itu menyifatkan Nurul Izzah sebagai “Ratu Reformasi Malaysia” dan memetik dakwaan beliau kononnya telah ditahan tanpa alasan dan ia adalah satu cara kerajaan Malaysia membalas dendam terhadapnya kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak panik dengan pendedahan mengenai skandal 1MDB yang dibuatnya dalam sidang Dewan Rakyat.

Zahrain berkata, Nurul Izzah sebenarnya ditahan bagi membantu siasatan mengikut undang-undang negara dan beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mempertikaikan undang-undang sesebuah negara kerana ia adalah hak kedaulatan negara itu.

“Semua pihak harus menghormati undang-undang sesebuah negara dan media harus membuat laporan dengan fakta yang tepat dan tidak mengelirukan mana-mana pihak,” katanya.

Zahrain berkata, Nurul Izzah sebenarnya cuba membela ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyalahkan pihak kerajaan sedangkan ketua pembangkang itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana disabitkan pertuduhan meliwat yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara Malaysia.

“Di sesetengah negara mungkin meliwat tidak salah di sisi undang-undang tetapi di Malaysia ia adalah satu kesalahan dan disebabkan itu kita tidak boleh membuat perbandingan undang-undang antara sesebuah negara dengan negara lain,” kata beliau.

UTAMAEDITORIAL1MDBDuta Malaysia Minta Media Indonesia Tidak Berat Sebelah Lapor Penahanan Nurul Izzah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium