Elak Konflik Kaum, SKMM Sekat Muat Turun ‘Fight Of Gods’


https://youtu.be/gZcQkbbCw1Q

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan internet untuk mengambil tindakan menyekat laman sesawang yang menjadi platform pengedaran digital permainan video Fight of Gods yang dilihat mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tindakan tersebut diambil selepas pihak penyedia platform permainan video itu, Steam gagal mematuhi tempoh 24 jam yang diberikan untuk menghalang permainan video tersebut daripada dimuat turun oleh pengguna di Malaysia.

“Tindakan yang dilaksanakan ini adalah perlu bagi melindungi pengguna selain memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan matlamat utama kerajaan, sebarang perilaku yang menggugat matlamat ini tidak akan dikompromi sama sekali oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Salleh berkata SKMM akan meminta penyedia platform permainan video Fight of Gods untuk menghalang pautan muat turunnya kepada pengguna Malaysia dalam tempoh 24 jam.

Beliau turut menyifatkan permainan video yang dibangunkan oleh sebuah studio di Taiwan itu mengaibkan agama dan ketua-ketua agama serta mengancam kesepakatan dan keharmonian antara kaum.

Salleh berkata sebarang perbuatan mencipta dan menyebarkan kandungan jelik adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“SKMM juga ingin mengingatkan para pengguna agar lebih berwaspada dan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika memilih kandungan untuk diakses untuk kebaikan diri sendiri, masyarakat dan negara,” katanya.

Permainan video Fight of Gods diilhamkan oleh permainan seperti ‘Street Fighter’ dengan menonjolkan watak ‘Jesus’ dan ‘Buddha’ sebagai karakter utama di mana pemain menggunakan wira pilihan mereka untuk mengalahkan wira pilihan lawan.

Dimajukan oleh Digital Crafter dari Taiwan, permainan itu membangkitkan kemarahan pemimpin agama dan penggemar permainan video.

***********************

*Permainan Pertempuran Memaparkan Jesus Dan Buddha Mendapat Bantahan Dari Pemimpin Agama*

Pemimpin agama di Malaysia telah bersepakat menentang Fight of Gods; yang dikatakan oleh mereka adalah menghina agama secara keseluruhan.

Fight of Gods baru-baru ini memasuki Early Access di Steam Online Store, pada harga rendah RM11.40. Ia memaparkan dewa seperti Odin, Amaterasu, Musa, dan Guan Gong; dan terbaru terdapat penambahan watak Gautama Buddha dan Jesus yang telah menarik perhatian badan agama tempatan.

Untuk membuat keadaan tambah buruk, peminat permainan telah meminta pembangun perisian memasukkan WATAK NABI MUHAMMAD didalam permainan tersebut.

Setiausaha Agung Dewan Gereja-gereja Malaysia, Rev Dr Hermen Shastri menganggap permainan tersebut keterlaluan, manakala ketua biro keharmonian MCA, Ti Lian Ker berkata ia akan “mencemari keharmonian agama” di Malaysia.

Leave a Reply