ETS KL-Padang Besar beroperasi 1 Julai

ets-ktmb-padang-besar

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis dijangka beroperasi bermula 1 Julai ini.

Presiden Keretapi Tanah Me-layu Berhad (KTMB), Sarbini Tijan berkata, perancangan operasi telah disiapkan oleh KTMB dan berkemungkinan orang ramai yang ingin pulang ke utara untuk menyambut Aidilfitri boleh menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Walau bagaimanapun, kami masih menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum perkhidmatan tersebut boleh digunakan orang ramai.

“Setakat ini, hasil perbincangan bersama pihak SPAD menunjukkan gambaran yang amat positif malah kami berharap mereka akan memberi kelulusan secepat mungkin setelah melakukan beberapa siri ujian keselamatan bertujuan menjamin keselamatan penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengedarkan sebanyak 3,000 pek berbuka puasa kepada penumpang KTMB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan KTMB, Mohd. Noordin Kimi serta Pengurus Besar Komuter, Azshidah Shah Shahani.

Dalam perkembangan lain, Sarbini turut memberitahu, pihaknya menjangkakan sebanyak 120 unit Sistem Pengesanan Global (GPS) akan dipasang di semua lokomotif seluruh rangkaian pada hujung tahun ini.

“Setakat ini sebanyak 50 unit GPS sudah dipasang. Pemasangan sistem tersebut bertujuan memantau kedudukan tren selain memastikan tren tidak dipandu melebihi had laju ditetapkan bagi menjamin tahap keselamatan penumpang,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noordin memberitahu, setakat ini KTMB sudah mengeluarkan sebanyak 12,000 tiket dan lebih daripada 10,000 tiket sudah dijual bagi tempoh 10 hingga 18 Julai sempena Aidilfitri.

“Bagi perjalanan ETS-Kuala Lumpur-Ipoh, kami menawarkan sebanyak 52,000 tiket dan 15,000 keping telah dijual bagi tempoh yang sama,” katanya.

Leave a Reply