Felda Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tolak Injunksi Interim - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Felda menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak injunksi interim menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd dan 10 daripada anak syarikatnya kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd atau untuk sebarang perbincangan yang diadakan oleh KPF mengenai perkara itu.

“Kami bersetuju dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang dengan jelas menyatakan bahawa perkara-perkara yang berkaitan kepada koperasi perlu dibawa ke Suruhanjaya Pertubuhan Koperasi Malaysia (MCSC),” kata Pengerusi Felda, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad dalam satu kenyataan, Jumaat.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan bahawa injunksi terhadap pelupusan ekuiti adalah pramatang memandangkan perwakilan KPF hanya merancang untuk membincangkan isu itu dan tiada keputusan telah diambil lagi.

Tambahan pula, dakwaan bahawa KPF memiliki 51 peratus saham bernilai RM3.13 bilion dalam Felda Holdings tidak berdasarkan bukti kukuh tetapi hanya dari khabar angin dan anggaran semata-mata.

Mohamed Isa sekali lagi mengulangi bahawa tanah peneroka seluas 500,000 hektar tidak akan digunakan bagi penyenaraian yang dicadangkan itu dan kepentingan mereka akan terus dilindungi apabila Felda Global Ventures Holdings menjadi syarikat senarai awam.

“Penyenaraian dan pewujudan satu entiti perladangan terbesar di dunia adalah satu matlamat penting negara dengan objektif menyampaikan pulangan kewangan jangka panjang yang kukuh untuk kakitangan, peneroka dan tanggungan mereka,” katanya.

UTAMABERITAFelda Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tolak Injunksi Interim

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium