Felda tanggung 30 peratus pinjaman PTPTN anak ahli

felda-ptptn

Felda akan membiayai 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pembayaran balik pinjaman pendidikan anak-anak peneroka Felda yang mendapat pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 Jan 2014.

Faedah pengurangan itu kata Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, terbuka kepada anak peneroka Felda yang menamatkan pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Pertama di semua universiti awam mahupun swasta dalam negara seperti yang disenaraikan Felda.

“Seramai 1,835 pelajar akan menikmati faedah pengurangan ini yang diperuntukkan oleh Felda sebanyak RM15 juta setakat ini. Faedah ini untuk semua pelajar baharu yang layak tanpa sebarang golongan sasaran,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Felda dan PTPTN bagi kerjasama pemberian pembiayaan pendidikan dan faedah pengurangan bayaran balik di Menara Felda, Rabu.

Menurutnya, Felda telah membelanjakan RM200 juta membantu 42,059 generasi muda Felda mendapat pelbagai manfaat pendidikan bermula Sijil Kemahiran sehingga peringkat Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, faedah pengurangan itu adalah strategi lautan biru yang berjaya direalisasikan Felda dan PTPTN dalam melahirkan pembangunan modal insan melalui pendidikan.

Sejumlah 2.29 juta peminjam katanya, telah menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN membabitkan peruntukan RM52 bilion sehingga 30 April 2015.

Leave a Reply