Gambaran Malaysia punyai jurang ketidakseimbangan buruk di Asia tidak benar

Income Inequalities malaysia and Asia

Gambaran bahawa Malaysia mempunyai jurang ketidakseimbangan yang buruk di Asia adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata, berdasarkan indeks ‘Gini Coefficient’ melalui kaedah pekali Gini, jurang pendapatan menunjukkan penurunan daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.431 pada 2012 dan seterusnya 0.421 (berdasarkan data awalan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah) pada 2014.

Beliau berkata, nilai itu adalah lebih rendah berbanding dengan beberapa negara Asia termasuk Jepun dengan pekali Gini pada 2009 iaitu 0.488, Singapura 0.478 pada 2012 dan China 0.474 pada 2012.

“Jika menggunakan indikator perbelanjaan pula, pekali Gini negara ialah 0.337 berdasarkan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 2010, yang mencatatkan ukuran lebih rendah berbanding beberapa negara Asia lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mengenai sama ada kerajaan sedar Malaysia mempunyai petunjuk ketidakadilan pembahagian kekayaan negara yang buruk di Asia.

Razali berkata, indikator perbelanjaan pekali Gini bagi Indonesia ialah 0.381 pada 2011, Thailand ialah 0.394 pada 2010 dan Filipina ialah 0.430 pada 2009.

“Ini menunjukkan bahawa jurang ketidakseimbangan berdasarkan ukuran pendapatan dan perbelanjaan di Malaysia adalah lebih baik berbanding beberapa negara di Asia,” katanya.

Namun begitu, katanya, kerajaan sedar ketidakseimbangan pendapatan masih wujud dan akan terus mengambil langkah bagi mengurangkan ketidakseimbangan bagi merapatkan jurang tersebut dengan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Leave a Reply