GST paling berkesan tingkatkan ekonomi negara – Hadi Awang - pakdin.my

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015 sebagai cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Justeru menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerajaan perlu memastikan tiada peniaga yang boleh lari daripada membayar cukai ber­kenaan seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST,” katanya ketika melontarkan soalan tambahan berkaitan GST kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Abdul Hadi itu, Johari berkata, kerajaan tidak pernah bercadang memansuhkan GST kerana objektif pelaksanaan cukai itu adalah untuk menyusun semula sistem cukai kepenggunaan negara supaya menjadi lebih telus dan cekap kerana telah mengambil kira kedudukan semasa sosio ekonomi masyarakat.

Beliau memberitahu, dari Januari hingga Oktober ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip RM29.34 bilion GST iaitu meningkat sebanyak RM1.41 bilion berbanding sembilan bulan pelaksanaan cukai itu tahun lalu yang berjaya meraih RM27.93 bilion.

Katanya, walaupun kerajaan menetapkan kadar GST sebanyak enam peratus, namun jumlah barangan dan perkhidmatan yang efektif dikenakan cukai tersebut hanya pada kadar 3.6 peratus.

Mengenai soalan kenapa harga barang yang tidak dikenakan GST turut meningkat selepas pelaksanaan cukai itu, Johari memberitahu, perkara itu disebabkan peniaga-peniaga tertekan berikutan pengurangan keuntungan yang diperoleh sejak sistem cukai itu dilaksanakan.

“Ketika Malaysia melaksanakan SST, banyak ketirisan berlaku berpunca daripada para peniaga tidak membayar cukai tersebut kerana mengambil kesempatan daripada sistem cukai yang kurang cekap itu,” katanya.

Katanya, kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST juga mungkin berpunca daripada peniaga yang belum memahami senarai barang dan perkhidmatan yang tidak perlu dikenakan cukai tersebut.

“Walau bagaimanapun, tahap pengetahuan para peniaga semakin baik berdasarkan kadar inflasi yang menurun daripada 3.43 peratus semasa peringkat awal GST dilaksanakan kepada kurang 2.0 peratus pada tempoh sekarang,” katanya.

UTAMAGST paling berkesan tingkatkan ekonomi negara – Hadi Awang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium