Guan Eng-Idris ‘Bertemu Buku Dengan Ruas’ - pakdin.my

MUKADIMAH: DI Dataran Parlimen pagi semalam sementara menunggu keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kelihatan cuba ‘menguji’ tahap kesabaran rakan sejawatnya dari Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Dengar ceritanya tidak pasti sama ada ‘berseloroh’ atau serius, Guan Eng dikatakan secara sinis menyalahkan Idris kononnya menjadi punca empat pemimpin DAP Melaka keluar parti pada 12 Februari lalu.

Gambar dari aplikasi WhatsApp diperoleh Utusan Malaysia menunjukkan Idris memperkatakan sesuatu kepada Ahli Parlimen Bagan itu sambil didengar Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sambil tersenyum.

Lantas wartawan ZULKIFLI JALIL menghubungi Idris untuk mendapatkan cerita sebenar. Ini penjelasan Idris:

Daripada aksi dalam gambar, nampak serius apa yang Datuk Seri perkatakan kepada Guan Eng?

IDRIS: Kami sedang me­nung­­gu keberangkatan tiba Seri Paduka dan tiba-tiba Guan Eng kata lebih kurang begini, ‘ini you punya pasallah (punca empat pemimpin DAP Melaka keluar parti). Lalu saya perjelaskan pada dia anda jangan buat cerita, andalah (Guan Eng) sebenarnya punca empat orang itu keluar DAP. Mereka tidak senang de­ngan cara kepemimpinan anda. Guan Eng sebenarnya cuba ‘ba­ling batu sembunyi tangan’.

Bukankah puncanya telah diperjelaskan oleh empat orang terlibat bahawa mereka sudah hilang keyakinan dengan pucuk pimpinan DAP?

Ya, itu punca sebenar. Salah seorang daripada mereka, Goh Leong San (Duyong) saya yakin seorang yang jujur sehinggakan beliau dipecat dan letak jawatan sebagai ketua pembangkang Melaka hanya enam bulan me­nyandangnya. Puncanya kerana dia memuji kepemimpinan saya.

Selama dua setengah tahun Melaka tiada ketua pembangkang, sekali gus tiada penyelarasan. Akibatnya Dewan Undangan Ne­geri (DUN) terpaksa mendengar soalan-soalan ber­tindih daripada wakil pembangkang. Ada 21 soalan hanya pasal penambakan laut daripada mereka.

Nampaknya ‘Dinasti Lim’ tiada arah tuju di Melaka?

Guan Eng pun pernah kalah dengan hanya meraih 27 undi di Melaka dalam pemilihan DAP 2005. Dinasti Lim di Melaka ditolak. Guan Eng dan isterinya, Betty Chew yang turut tewas lalu membawa diri ke Pulau Pinang. Di sana dia diterima dan sejak sandang ketua menteri dia jadi ‘hebat’. Dan menurut orang-orang Guan Eng di Melaka, keempat-empat yang keluar DAP itu ‘tidak boleh diharap dan musuh dalam selimut’.

Kelihatannya pengundi Cina di Melaka tidaklah setegar rakan mereka di Pulau Pinang.

Benarkah telahan ini?

Walaupun Melaka mempu­nyai masyarakat Cina yang tegar tetapi bagi saya, mereka rasional. Pengundi Cina di Melaka tidak ekstrem. Malah Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock pun tewas di kubu kuatnya di Parlimen Kota Melaka pada 2004 apabila pengundi Cina memberi kemenangan kepada calon BN, Wong Nai Chee.

Kerusi pembangkang kini tinggal empat, mampukah me­reka teruskan survival di Melaka?

Saya fikir Pas yang memiliki satu kerusi di Melaka pun belum tentu lagi akan bersama kelompok pembangkang. Jadi, baki tiga wakil DAP akan terkontang-kanting.

UTAMAPOLITIKGuan Eng-Idris ‘Bertemu Buku Dengan Ruas’

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium