Guan Eng sila jawab, jangan asyik tuding jari

pulau-pinang-tambak-laut

“Guan Eng perlu menjawab beberapa persoalan dan bukannya mencari salah orang lain.

“Rakyat mahu tahu benarkah hasil daripada tambakan laut itu kelak, sebanyak RM27 billion akan disalurkan ke projek Penang Transportion Plan bagi kos pembinaan LRT, monorel, terowong bawah tanah dan Pan Island Highway (PIH)…

“Jika tidak benar, maka daripada mana pula kerajaan negeri mendapatkan dana untuk menampung kos tersebut?

“Dan betul ke hasil daripada tambakan itu juga bakal membolehkan kerajaan negeri menubuhkan dana RM500 juta untuk membina rumah mampu milik? Jika benar pula, apakah status dana RM500 juta yang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada Mei 2011 untuk projek pembinaan rumah mampu milik?

“Sampai sekarang kerajaan negeri tidak mampu menunjukkan di manakah pembinaan tersebut dibuat walaupun telah didesak banyak kali.”

Itu antara persoalan-persoalan yang dilontarkan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman kepada Ketua Menteri kerajaan DAP Pulau Pinang susulan tindakan beliau menyalahkan Barisan Nasional (BN) berhubung isu tambakan laut.

Sebelum ini sebuah NGO telah mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri berkaitan kerja-kerja penambakan laut yang didakwa Guan Eng hanya sebanyak 60 ekar sepanjang DAP memerintah negeri itu.

Menurut Zainal Abidin, Lim Guan Eng perlu berhenti daripada berdolak dalik dan menyalahkan orang lain apabila tindak tanduknya dipersoalkan rakyat.

BN negeri katanya, akan menyediakan butiran mengenai proses penambakan laut sewaktu menerajui Pulau Pinang dan mahu Guan Eng berhenti menuding jari kepada pihak lain sebaliknya menjawab segera serta tidak berdiam seribu bahasa apabila berhadapan dengan kepincangan sendiri.

“Saya desak Guan Eng jawab dua perkara ini jika benar kepimpinan Dap mengamalkan ketelusan dan integriti. Jangan sibuk cari salah orang sedangkan kepimpinan sendiri jauh lebih teruk kepincangannya,” katanya menambah bahawa terlalu banyak persoalan-persoalan yang kekal misteri tiada jawapan daripada Guan Eng, jika hendak disenaraikan.