Hanya perluas kuasa Mahkamah Syariah Rang undang-undang persendirian bukan hudud - pakdin.my

Hadi tidak hadir mesyuarat Hudud Pakatan

Rang undang-undang per­sendirian yang hendak dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat bukanlah rang undang-undang hudud sebaliknya pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355).

Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, pindaan kepada akta tersebut bertujuan membuka ruang bagi membolehkan satu dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap orang Islam.

Ini berikutan bidang kuasa mahkamah syariah di semua negeri ketika ini terbatas kepada menjatuhkan hukuman tidak melebihi denda RM3,000, penjara lima tahun dan enam kali sebatan seperti yang terkandung dalam Akta Mahkamah Syariah 1965.

Dengan pindaan kepada akta itu, akan membolehkan sebahagian daripada peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan dilaksanakan mengikut perundangan Islam seperti minum arak dihukum sehingga 80 kali sebat.

Justeru, Abdul Hadi mengingatkan semua pihak sebagai mahkluk yang berilmu, bertamadun dan matang supaya mendengar terlebih dahulu apa yang ingin dikemukakan pihaknya.

“Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kri­tikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya,” tegasnya dalam satu surat terbuka bertajuk ‘Isu Hudud Yang Dikelirukan’ dalam laman Facebook beliau hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Tindakan itu menyebabkan sekutu Pas, DAP membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan turut meminta beliau meninggalkan pakatan pembangkang jika mahu membentangkan rang undang-undang persendirian atas kapasiti Ahli Parlimen pakatan pembangkang.

Dalam surat terbuka yang ditujukan kepada umat Islam itu, Abdul Hadi turut menjawab pandangan pihak yang memberikan alasan siyasah syariah, maqasid syariah, fiqh al-awlawiyyat, maslahat dan lain-lain dalam memberi justifikasi penolakan mereka kepada pelaksaan hudud di Kelantan.

Walaupun tidak merujuk secara khusus pihak mana, sekutu Pas sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara yang tidak menyokong Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan berdasarkan prinsip fiqh al-awlawiyyat, maslahat ummah dan maqasid syariah.

Berhubung perkara itu, Abdul Hadi menempelak pihak-pihak terlibat sebagai tidak memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap ibarat seekor burung kakak tua yang hanya tahu mengulangi perkataan diajar tuan tanpa memahami maksudnya.

“Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakak tua yang hanya pandai menyebut kalimah diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan sunah adalah sangat penting,” jelasnya.

UTAMAPOLITIKHanya perluas kuasa Mahkamah Syariah Rang undang-undang persendirian bukan hudud

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium