Harga ikan kembung turun RM3 sekilogram akibat lambakan bekalan

Seperti yang pernah diberitahu. Harga ikan naik dan turun mengikut musim. Apabila harga ikan meningkat semasa musim hujan, Pakatan menjadikannya isu besar. Apabila turun, semua senyap. Tiada pula yang nak bangkitkan simpati kepada Nelayan terpaksa jual harga murah.

Kesudahannya, penyokong pembangkang terus menganggap harga ikan kembung masih melebihi RM20 dan meneruskan propaganda ikan kembung.

**********

ALOR SETAR: Harga ikan kembung yang melonjak mencecah RM20 sekilogram pada awal bulan ini, kini turun mendadak sehingga RM3 sekilogram berikutan lambakan bekalan di pasaran sejak kira-kira seminggu lalu.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD), Abdul Hamid Bahari, berkata perubahan monsun timur laut menyebabkan tangkapan ikan dan hasil laut bertambah dan nelayan memperoleh hasil tangkapan yang sangat banyak.

Beliau berkata, boleh dikatakan hampir semua 10,000 nelayan di negeri ini membabitkan 2,000 bot nelayan kelas A, B, C dan C2 turun ke laut untuk menangkap ikan dan mampu mendaratkan sekurang-kurangnya 100 tan ikan setiap hari.

“Berikutan tangkapan yang banyak itu, harga ikan menurun antara RM3 hingga RM10 (mengikut saiz) sekilogram.

“Permintaan untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina juga meningkat menyebabkan kita sudah membuat persediaan termasuk menyimpan 50 tan ikan beku di stor penyimpanan ikan beku di sini, selain udang, sotong, ketam dan ikan,” katanya ketika ditemui di Wisma Nelayan Kampung Gelunchor, dekat Kuala Kedah, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, walaupun hasil tangkapan melonjak, beliau turut menasihatkan nelayan mengambil peluang ketika lambakan ikan supaya menyimpan bekalan disebabkan faktor cuaca tidak menentu dan perubahan angin.

Sementara itu, tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah mendapati ikan kembung dijual pada harga murah iaitu RM10 untuk tiga kilogram.

Nelayan, Norazlan Mohd Aslan, 38, berkata kebanyakan nelayan di pelantar menggunakan bot Zon A hanya turun ke laut sehingga enam hingga 10 batu nautika seawal jam 6 pagi hingga 11 pagi setiap hari dan membawa pulang antara 200 kilogram hingga 1,000 kilogram ikan kembung sehari sejak seminggu lalu disebabkan ikan semakin banyak.

“Sebelum ini memang harga ikan mahal kerana kami hanya mampu memperoleh bekalan ikan antara 20 kilogram hingga 30 kilogram sehari disebabkan laut bergelora dan cuaca tidak menentu,” katanya.

Peniaga ikan, Melati Ladun, 36, berkata harga ikan di situ tidak sama setiap hari kerana bergantung kepada hasil tangkapan.

“Ada kala ikan dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekilogram lebih kecil dan jika hasil tangkapan banyak atau berlaku lambakan ikan, harganya akan turun.

“Sejak harga ikan murah, kami pulang lebih awal kerana ramai pelanggan membeli di sini pada awal pagi menyebabkan hasil jualan habis lebih awal,” katanya.

5 Replies to “Harga ikan kembung turun RM3 sekilogram akibat lambakan bekalan

Leave a Reply