Hikmah Di Sebalik Pencerobohan Pengganas Sulu Di Tanduo - pakdin.my

Gambar hakmilik PDRM Klik sini untuk Facebook PDRM
Gambar hakmilik PDRM
Klik sini untuk Facebook PDRM

Galeri kecil di Kem Tanduo, pos kawalan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang menyimpan koleksi gambar kesan pencerobohan pengganas Sulu sudah cukup menceritakan sejarah hitam kawasan itu yang dahulunya merupakan sebuah perkampungan kecil.

Galeri itu menarik perhatian kepada mereka yang dibawa melawat ke kem itu dengan kebenaran rasmi, namun lebih penting adalah pewujudan Kem Tanduo, antara pos kawalan pasukan keselamatan yang terdapat di sekitar Zon Labian, susulan insiden pencerobohan itu.

Kem Tanduo menjadi perhatian disebabkan kawasan itu dahulunya merupakan sebuah penempatan penduduk kampung dan semuanya berubah selepas pengganas Sulu dari selatan Filipina mendarat di pesisir pantai kampung itu pada 12 Feb tahun lepas, genap setahun insiden itu berlaku pada hari ini.

Kem itu beroperasi secara rasmi pada 15 Mac tahun lepas setelah pasukan keselamatan berjaya menewaskan pengganas Sulu yang berkampung di situ.

Kem Tanduo merupakan antara pos kawalan di bawah Briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang beroperasi di Gugusan Felda Sahabat dan Gugusan Tanjung Labian.

Kawalan keselamatan itu khususnya memberi tumpuan kawasan pesisir pantai dan membabitkan dua batalion anggota tentera, selain sokongan daripada pasukan keselamatan lain yang mengawal kawasan perairan dan rondaan dari udara.

Selain di Tanduo, semua kampung berhampiran pantai di dua gugusan tersebut terutama yang pernah terlibat dalam pencerobohan pengganas Sulu diwujudkan pos kawalan antaranya di Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Sinakut.

Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek menyifatkan peranan mengendalikan operasi Briged berkenaan memperlihatkan Esscom telah mengorak langkah dalam operasi itu sendiri.

Katanya pada mulanya, Esscom hanya bertindak sebagai kumpulan pemikir, penyelaras dan sebagai penasihat dalam soal keselamatan di pantai timur Sabah.

“Esscom juga menggiatkan kawalan selaras dengan aset-aset yang telah dipertanggungjawabkan seperti kapal terbang dan helikopter yang membuat rondaan secara bergilir pada waktu malam.

“Kawalan di perairan pula oleh kapal tentera, polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengikut tanggungjawab kawasan masing-masing,” katanya.

Mohammad berkata Esscom juga telah mewujudkan enam pasukan pasukan gerak pantas yang ditempatkan di kawasan stretegik khususnya yang kerap dimasuki oleh penyeludup, kumpulan bersenjata ataupun kumpulan yang berniat untuk membuat sesuatu yang tidak baik khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Kita juga bersyukur semenjak kejadian di Kampung Tanduo itu tidak ada lagi pencerobohan yang berlaku.

“Jadi ini merupakan satu daripada petanda baik di mana segala usaha, program, aktiviti yang kita laksanakan telah memberi kesan terutamanya terhadap mereka yang ingin memasuki kawasan perairan kita bagi tujuan melakukan kegiatan jenayah termasuk juga penyeludupan dan sebagainya,” katanya.

Penubuhan Esscom diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac tahun lepas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu dengan menumpukan pada Esszone membabitkan 10 daerah di pantai timur Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Pada awal penubuhannya, pejabat Esscom beroperasi di kabin sementara di Pangkalan Pasukan Polis Marin Lahad Datu bermula 1 April tahun lepas dan pada 7 Jan lepas berpindah ke pejabat baharu di Kompleks Komersial Harbour Town di pekan Lahad Datu.

Mohammad berkata pelan strategik Esscom berdasarkan kemampuan dan cabaran dihadapi dalam melaksanakan setiap program selaras dengan misi mengenai keselamatan di kawasan Esszone yang melibatkan semua komponen dalam Esscom.

Katanya komponen tersebut adalah keselamatan, pertahanan dan awam.

Beliau berkata sudah tentu pelan strategik untuk meningkatkan kawalan di kawasan perairan menjadi tumpuan dan untuk tujuan itu, Esscom telah melihat dan mengkaji semula kedudukan pos kawalan pasukan keselamatan di kawasan kepulauan darat ataupun kawasan perairan.

Menurutnya berdasarkan daripada tinjauan turun padang bersama-sama dengan pegawai kanan Esscom, beberapa pos kawalan baharu telah diwujudkan berikutan didapati berpotensi wujud ancaman di kawasan tersebut.

“Apa yang penting sekarang ini adalah kerjasama yang mantap, kesepakatan yang tinggi dan komitmen yang tinggi serta kordinasi yang baik antara pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan,” katanya.

Menurut beliau elemen tersebut perlu dipertingkatkan demi untuk memastikan keselamatan di kawasan perairan khususnya di kawasan Esszone terjamin.

UTAMABERITAHikmah Di Sebalik Pencerobohan Pengganas Sulu Di Tanduo

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium