Hubungan Malaysia-Arab Saudi Berada Pada Tahap Tertinggi

RIYADH — Raja Arab Saudi Salman Abdulaziz Al-Saud berpendapat hubungan Malaysia dan negaranya kini berada pada tahap tertinggi dan akan terus diperkukuh pada masa hadapan.

Pengiktirafan ini dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadap baginda di kediaman diraja itu di sini pada Rabu.

“Apa yang dinyatakan baginda kepada saya ialah baginda amat berpuas hati dengan tahap hubungan antara kedua-dua negara kini,” Najib berkata demikian pada sidang akhbar Rabu malam selepas menamatkan lawatan kerja di Arab Saudi yang bermula pada 29 Feb.

Beliau memaklumkan bahawa Raja Salman juga kagum terhadap pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara, sesuatu yang dipandang tinggi oleh Arab Saudi.

Najib berkata bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, beliau menyampaikan jemputan kepada Raja Arab Saudi itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Memberitahu lebih lanjut mengenai majlis menghadap itu, perdana menteri berkata beliau merasa terharu melihat kehadiran sejumlah besar anggota kerabat diraja, menteri kabinet dan pegawai tinggi tentera Arab Saudi ketika majlis santapan tengah hari sempena acara tersebut.

Beliau menganggap suasana itu sebagai melambangkan tahap kepentingan yang diberikan Arab Saudi kepada hubungan antara Riyadh dan Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau berharap hubungan istimewa antara kedua-dua negara akan diterjemah kepada aspek yang boleh memanfaatkan lagi rakyat Malaysia.

Semasa majlis menghadap itu, beliau telah menzahirkan penghargaan Malaysia atas layanan dan bantuan yang dihulurkan Arab Saudi kepada jemaah haji dan umrah Malaysia.

Beliau berkata Malaysia mendapat pertimbangan sangat baik berhubung perkara-perkara tersebut.

45 Replies to “Hubungan Malaysia-Arab Saudi Berada Pada Tahap Tertinggi

Leave a Reply