Hukum Hudud Di Kelantan: PR Terkejut Anwar Sokong Nik Aziz - pakdin.my

Kecelaruan di kalangan parti-parti gabungan longgar Pakatan Rakyat (PR) mengenai hasrat Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud semakin membesar apabila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara prinsipnya menyokong langkah tersebut.

Beliau yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata; “Secara prinsipnya saya percaya ia (hukum hudud) boleh dilaksanakan (di Kelantan),” kata Anwar kepada para pemberita di luar bangunan mahkamah selepas perbicaraan kes sodominya pada Khamis.

Anwar menambah, jika dilihat kepada beberapa bahagian secara spesifik, terdapat keadilan yang jelas di dalam menjamin hak-hak bukan Islam dan ia (hukum itu) tidak menganggu hak bukan Islam.

Beliau bagaimanapun berkata, itu hanyalah pandangan peribadinya dan bukannya pandangan PR kerana gabungan longgar itu tidak pernah membincangkan perkara tentang pelaksanakan hukum hudud sama ada di Kelantan atau mana-mana negeri di bawah pentadbiran mereka.

Ini adalah kali pertama Anwar secara terbuka menyatakan sokongannya kepada pelaksanaan hukum hudud.

Dalam pada itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat pada Khamis, sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya akan meneruskan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum hudud dan menegakkan sebuah negara Islam sama ada dengan atau tanpa sokongan rakan-rakan PAS dalam PR.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pula tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan pandangan peribadi Anwar tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Katanya, pelaksanaan hukum hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Karpal juga menegaskan, usaha untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan jelas sekali bercanggah dengan apa yang dipersetujui dalam muktamar agung PAS baru-baru ini untuk melaksanakan sebuah negara kebajikan.

Dalam pada itu, peguam yang juga Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim menegaskan: “Hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa terlebih dahulu meminda Perlembagaan Negara.’’ Beliau menambah, PR boleh membahaskan perkara ini dengan panjang lebar di Parlimen sekiranya mereka mengambil alih kuasa pemerintahan kerajaan pusat nanti.

Jelas beliau, sekiranya Anwar atau PR berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud mereka mestilah membuat pendirian yang jelas mengenainya terlebih dahulu kerana adalah sesuatu yang tidak betul untuk memperdayakan pengundi.

Berita berkaitan:
Terpulang DAP Mahu Keluar Pakatan, Saya Tetap Mahu Laksana Hudud, Kata Nik Aziz

UTAMABERITAHukum Hudud Di Kelantan: PR Terkejut Anwar Sokong Nik Aziz

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium