Hutang 1MDB boleh diselesaikan – @NajibRzak - pakdin.my

perincian-hutang-1mdb-aset

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) belum mengalami kerugian, namun mengakui agensi itu berhutang sebanyak RM42 bilion tetapi masih boleh diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana 1MDB mempunyai nilai aset yang melebihi hutang dan mampu mengurangkan jumlah berkenaan pada tahap yang jauh lebih rendah dalam tempoh lima bulan.

Menurutnya, keyakinan itu juga bersandarkan terhadap aset dimiliki 1MDB yang sudah pun menerima pelbagai tawaran, antaranya untuk membeli janakuasa Edra, tawaran membeli Tun Razak Exchange (TRX) dan tawaran membeli Bandar Malaysia.

“Insya-Allah dalam masa lima bulan ini akan ada pencerahan berhubung perkara itu dan kita akan usaha selesaikan isu ini dengan hutang 1MDB dijangka dapat dikurangkan kepada tahap jauh lebih rendah, kita belum rugi lagi.

“Jadi, kalau ada orang kata kita dah hilang RM42 bilion, itu bukan sesuatu yang benar dari segi fakta, ia adalah hutang yang boleh diselesaikan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, isu berkaitan 1MDB banyak diperkatakan dalam media sosial yang dilihat sengaja diputarbelitkan sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap syarikat berkenaan sedangkan perkara tersebut bukan merupakan fakta sebenar.

Sambil menyifatkan penyebaran fitnah kini berada ‘di hujung jari’ disebabkan ruang siber menjadi medan perjuangan penting berbanding secara fizikal atau berhadapan sebelum ini, beliau mahu lebih ramai ‘pahlawan siber’ (keyboard warriors) diwujudkan.

Perdana Menteri menegaskan, langkah itu penting bagi menangkis tohmahan dan fitnah dalam laman sosial, sekali gus membetulkan persepsi kerana pembentukan minda masyarakat kini banyak bergantung terhadap persepsi berbanding realiti.

“Pembangkang kini tidak perlu buat banyak, mereka cuma perlu timbulkan persepsi, keraguan dan persoalan. Tidak perlu ‘deliver’ apa-apa dan hanya perlu timbulkan persoalan dalam minda rakyat, yang cukup untuk menghakiskan sokongan.

“Malaysia Airlines (dulu) memang rugi, kita suntik dana RM6 bilion, tapi saya tak perlu kupas. Dulu tiada media sosial, tahu-tahu dah habis isu berkenaan. Sekarang ni, belum jadi apa-apa, dah meletup jadi panas, jadi sasaran tiba-tiba,” katanya sambil membidas sikap sebilangan ahli UMNO yang mudah mempercayai ‘persepsi negatif’ dilemparkan dalam medan sosial sehingga melupakan segala inisiatif baik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan telah melakukan banyak program dan usaha untuk membantu rakyat, terutamanya golongan kurang berkemampuan seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pemerkasaan ekonomi bumiputera dan penggandaan nilai pasaran oleh syarikat berkaitan kerajaan (G20) dalam masa 20 tahun.

Justeru, beliau meminta rakyat tidak mudah terikut-ikut dengan rentak pembangkang sehingga perkara dan usaha yang baik diambil kerajaan menjadi tidak baik seperti isu pembelian tanah di TRX oleh Tabung Haji yang diuar-uarkan mengguna duit pendeposit.

“Ia sebenarnya satu langkah komersial yang boleh datangkan hasil, tetapi melalui media sosial diuar-uarkan kita nak guna dana pendeposit Tabung Haji selamatkan 1MDB, sehinggakan sesuatu yang baik jadi tidak baik dan Tabung Haji tidak jadi beli,” katanya.

Merujuk kepada isu pembinaan jambatan bengkok, Najib dengan nada spontan berkata: “Nak buat jambatan bengkok, kita boleh buat. Saya serah kepada UMNO Johor tetapi ia mesti kena ada asasnya.”

UTAMAEDITORIAL1MDBHutang 1MDB boleh diselesaikan – @NajibRzak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium