Irene Fernandez Dibidas Kerana Kecam Negara - pakdin.my

Irene Fernandez

Ketika ramai rakyat Malaysia menantikan pembantu rumah warga Indonesia tiba ke negara ini, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez sebaliknya menasihatkan agar Jakarta tidak menghantar pekerja mereka bagi mana-mana kategori ke negara ini.

Kenyataan beliau kepada Jakarta Post pada Isnin bahawa Malaysia tidak selamat kepada pekerja asing mengundang kecaman pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan membidas Fernandez kerana disifatkan sebagai tidak beretika, tidak tepat serta tidak patriotik.

“Walaupun kita tidak mempunyai undang-undang khusus untuk pekerja asing, namun Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk melindungi semua pekerja, termasuk pekerja asing.

“Jika pekerja asing mempunyai masalah atau dizalimi, mereka boleh membuat laporan dengan Jabatan Tenaga Kerja atau pergi terus ke kedutaan masing-masing atau pihak polis. Ada ruang bagi mereka untuk mendapatkan pembelaan,” katanya.

Tambah beliau, sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Malaysia komited untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap pekerja di negara ini, termasuk pekerja asing.

Fernandez menerusi temu bual dengan Jakarta Post yang dipetik sebagai berkata menyatakan Malaysia tidak mempunyai sebarang rangka kerja undang-undang bagi melindungi pekerja asing.

Malah beliau turut mendakwa bahawa kerajaan mendiskriminasi pekerja bagi kumpulan pembantu rumah kerana mengabaikan golongan berkenaan menerusi dasar gaji minimun yang diumumkan baru-baru ini.

Bagaimanapun Maznah menjelaskan bahawa pembantu rumah tidak termasuk dalam dasar berkenaan kerana mereka bekerja di dalam ‘sektor tidak rasmi’ dan penginapan, makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas ditanggung oleh majikan.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata kenyataan Fernandez adalah tidak tepat.

“Beberapa kes penderaan tidak menggambarkan keseluruhan sikap majikan, beribu-ribu orang yang melayan pembantu rumah mereka dengan baik. Kami mempunyai kes pembantu rumah yang mendapat ijazah atau diploma dengan bantuan majikan mereka,” katanya.

Katanya lagi adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa pekerja Indonesia ditipu kerana perjanjian pembantu rumah antara Indonesia dan Malaysia memberi memberi banyak faedah kepada kedua-dua pihak.

“Kami mempunyai dasar yang jelas. Gaji pembantu rumah perlu dibayar kepada bank dan majikan perlu membuka akaun. Pembantu rumah itu memegang pasport dan dia mesti diberi perlindungan insurans dan kesihatan.

“MoU ini adalah lebih baik daripada apa-apa perjanjian dengan negara-negara lain. Malah, ada gaji minima sebanyak RM700, “katanya.

Published: Selasa Mei 8, 2012 MYT 10:28:00 AM
Updated: Selasa Mei 8, 2012 MYT 10:38:34 AM
Laporan Jakarta Post Tepat – Irene Fernandez

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez mengesahkan kenyataannya seperti yang disiarkan oleh Jakarta Post adalah benar seperti yang digambarkan.

Malah beliau sekali lagi mengesahkan bahawa Malaysia tidak mempunyai rangka kerja undang-undang mahupun undang-undang khusus bagi melindungi pekerja sehingga wujudnya diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang.

Tambah beliau, pekerja ladang menghadapi pelbagai bentuk diskriminasi seperti perbezaan gaji serta lebih terdedah kepada ancaman kesihatan daripada bahan kimia dan racun perosak.

Sambil mengakui bahawa beliau memberitahu akhbar berkenaan bahawa majikan di Malaysia ‘bertindak sewenang-wenangnya’, beliau dalam pada itu mempertikaikan sebahagian laporan yang memetik beliau sebagai berkata bahawa majikan di Malaysia ‘membeli’ keputusan mahkamah apabila pekerja menyaman mereka.

UTAMABERITAIrene Fernandez Dibidas Kerana Kecam Negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium