Islam dan Kristian lebih baik cari persamaan dari berbalah – @NajibRazak - pakdin.my

Perdana Menteri melambai tangan ke arah orang ramai semasa menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas 2013 di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang
Perdana Menteri melambai tangan ke arah orang ramai semasa menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas 2013 di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang

Umat Islam dan Kristian di negara ini digesa menitikberatkan kebersamaan sesama mereka bagi mengukuhkan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara daripada mencari perbezaan yang boleh menimbulkan perbalahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib sebagai contoh, walaupun terdapat perbezaan tafsiran konsep Tuhan dalam agama Islam dan Kristian, ia tidak seharusnya dijadikan perbalahan yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum.

“Islam dan Kristian adalah dua agama terbesar di dunia. Kedua-dua agama ini boleh dikatakan mempunyai asal usul yang sama, ada permulaan yang sama iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.

“Meskipun dari segi akidah kita ada perbezaan, umpamanya konsep Tuhan. Dalam Islam konsep Tuhan agak berbeza. Tetapi kalau kita sentiasa berbalah atas perkara ini, maka kita akan merenggangkan hubungan antara orang Islam dan orang Kristian,” katanya ketika berrucap merasmikan majlis Rumah Terbuka Krismas 2013 peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang Rabu.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup serta KetuaMenteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Najib berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau amat menekankan aspek keamanan, keharmonian serta kestabilan dan komited untuk melakukan apa sahaja demi memelihara ketiga-tiga aspek itu.

“Saya pernah sebut saya tidak berminat untuk memenangi sesuatu pertengkaran berhubung sesuatu isu. Saya hanya memikirkan bagaimana mencapai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang sewajarnya untuk negara ini. Inilah tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Kita mesti faham sensitiviti antara satu sama lain dan bila kita faham sensitiviti antara satu sama lain, kita tidak seharusnya melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati orang lain.

“Orang Islam tidak seharusnya menyakiti hati orang Kristian dan orang Kristian tidak seharusnya menyakiti hati orang Islam,” katanya.

Beliau berkata, konsep rumah terbuka yang dianjur bukan hanya meraikan sesuatu perayaan semata-mata sebaliknya adalah medium untuk rakyat di negara ini berkongsi dan memahami adat serta budaya sesuatu kaum.

Najib juga berkata, program rumah terbuka membolehkan rakyat berkongsi peluang yang merangkumi adab dan kemakmuran.

Rumah terbuka juga boleh dijadikan tirai program Tahun Melawat Malaysia 2014 dan menyemarakkan lagi industri pelancongan negara, tambah beliau.

Katanya, beliau percaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di bawah pimpinan Mohamed Nazri bersedia untuk menjayakan program yang dirancang dan kerajaan pusat sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan industri pelancongan.

“Adalah penting untuk kita mengingatkan diri sendiri bahawa jika kita bekerjasama, kita akan berjaya mencapai potensi terbesar untuk Malaysia,” katanya.

UTAMAPOLITIKIslam dan Kristian lebih baik cari persamaan dari berbalah – @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium