Isu Azmin: Siapa berkuasa di Selangor – Khalid atau Anwar?

Siapa yang bekuasa di Selangor?
Siapa yang bekuasa di Selangor?

Kontroversi kedudukan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semakin panas dan sekaligus mendedahkan suara siapa sebenarnya lebih berkuasa di Selangor.

Kali ini Ketua Umum PKR yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai kenyataan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu pengugguran Azmi daripada Lembaga Pengarah PKNS.

Menurut beliau, bidang kuasa dalam menentukan lantikan lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri itu terletak di bawah bidang kuasa menteri besar dan Exco, bukannya pengurusan PKNS.

“Kalau mengikut peraturan, ia tidak boleh berlaku, ia hanya dengan kuasa menteri besar atas kelulusan majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

“Saya nasihatkan menteri besar agar kedudukan Azmin Ali dikekalkan kerana pelucutan itu tidak mematuhi prosedur dalam mengambil sebarang keputusan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, Khamis.

Kesimpulannya, Anwar yang juga Ketua Pembangkang  mahu Azmin dikekalkan jawatannya sehingga 2015 seperti asal memandangkan keputusan memecatnya  tidak mengikut prosedur atau prosesnya ‘cacat’.

Malah katanya,sebagai  Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, beliau tidak dimaklumkan mengenai pemecatan itu.

“Tiada surat yang sampai pada saya. Pengurus besar tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir mana-mana lembaga pengarah, mengikut peraturan ia tidak boleh berlaku,” katanya.

Semalam, Khalid mendedahkan kononnya keputusan tidak melantik semula Azmin diputuskan pihak pengurusan PKNS bukannya beliau.

Bagaimanapun, PKNS dalam kenyataan petang semalam juga menyanggah apa didakwa Khalid.

Menurut PKNS, surat mereka kepada Azmin bertarikh 8 Januari 2014 adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.

Azmin yang hadir sama enggan mengulas kecuali menyatakan sokongan terhadap keputusan dan tindakan parti berhubung perkara itu.

Isunya , jika arahan Anwar ini dipatuhi Khalid akan timbul persoalan siapa berkuasa di Selangor sebenarnya – adakah Khalid atau Anwar?

Khalid pula tidak banyak pilihan sama ada akur kehendak Anwar atau menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKNS mengusulkan Azmin digugurkan daripada Lembaga Pengarah.

Jika ini berlaku, sudah sah PKR Selangor semakin caca merba menjelang pemilihan parti tidak lama lagi dan Khalid serta Azmin tidak boleh lagi menafikan bahawa perang antara mereka semakin sengit.

Leave a Reply