Isu Bugis: ADUN BN Nyatakan Sokongan Terhadap Sultan Selangor

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak usul membahaskan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina etnik Bugis.

Penyelaras ADUN BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata memorandum itu juga sebagai sokongan terhadap titah baginda yang menzahirkan kemurkaan terhadap kenyataan itu.

“Speaker DUN (Hannah Yeoh) semalam menolak usul (yang dikemuka ADUN Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus) dengan alasan sangat remeh dan tidak munasabah, terutama bila beliau menyatakan perkara ini (usul) bukan berkepentingan.

“Pada saya isu ini sangat mustahak kerana ia melibatkan titah sultan, jadi kami ADUN BN rasa terpanggil dan bawa usul ini (ke DUN). Bila ditolak kami ingin menzahirkan perkara ini ke bawah Duli Tuanku supaya Tuanku tahu yang ADUN BN sentiasa bersama dan sentiasa sokong baginda dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani di Istana Bukit Kayangan di sini.

Mat Nadzari turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan Speaker DUN yang tidak ambil endah terhadap isu itu untuk dibahaskan selain mendesak kerajaan Selangor menyatakan pendiriannya berhubung perkara ini.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam yang ingin menyelesaikan isu ini dengan baik, beliau berkata DUN merupakan tempat terbaik untuk berbuat demikian.

“Ya, buatlah di dalam Dewan (DUN)… kami bukan budak nakal…kita berdisiplin, kita ada moral apatah lagi bila kita bincangkan perkara yang penting macam ini yang mempunyai satu kenyataan yang ada nilai daripada Sultan,” katanya.

Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.

Ekoran kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa murka dan amat kecewa dengan kata-kata itu yang dilihat sebagai cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap etnik Bugis yang merupakan susur galur Kesultanan Selangor.

**********

Rujukan:

Usul Ditolak, BN Selangor Hantar Memorandum Kepada Sultan

http://pakdin.my/usul-ditolak-bn-selangor-hantar-memorandum-kepada-sultan/

Dakwaan hina Bugis: ‘Saya tidak akan minta maaf’ -Tun Mahathir

http://www.astroawani.com/berita-politik/dakwaan-hina-bugis-saya-tidak-akan-minta-maaf-tun-mahathir-158536

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa murka

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-bugis-lanun-sultan-selangor-murka-kenyataan-tun-m-159527

Kerajaan Selangor dicabar bertindak tegas terhadap Dr Mahathir

http://www.astroawani.com/berita-politik/kerajaan-selangor-dicabar-bertindak-tegas-terhadap-dr-mahathir-159631

http://www.astroawani.com/berita-politik/gesaan-henti-undang-tun-m-boleh-diselesai-cara-baik-azmin-160000

One Reply to “Isu Bugis: ADUN BN Nyatakan Sokongan Terhadap Sultan Selangor”

Leave a Reply