Jadi Mata Dan Telinga Kami, Kata @NajibRazak Kepada Koresponden Asing

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota Kelab Koresponden Asing Malaysia yang baru ditubuhkan menjadi mata untuk dunia memandang Malaysia dan telinga bagi dunia luar mendengar suara rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata sebagaimana beliau bertanggungjawab melindungi nilai-nilai dan tradisi Malaysia, para koresponden pula bertanggungjawab menonjolkan nilai-nilai Malaysia, rakyat dan anggota politik sepertimana hakikatnya.

Dalam melindungi dan mempertahankan nilai-nilai berkenaan, sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab memastikan kerajaan bertindak dari semasa ke semasa untuk mengehadkan penerbitan atau aktiviti yang menggugat tradisi tempatan.

“Saya berdiri teguh dengan tindakan saya itu,” kata beliau semasa melancarkan kelab itu di sini.

Perdana Menteri menyifatkan untuk melihat Malaysia daripada kaca mata Barat dan “menyatakan kita salah” adalah suatu tindakan yang begitu mudah.

Beliau menegaskan ia bukan soal menentukan sama ada model Timur atau Barat itu betul kerana kedua-duanya sesuai dalam konteks budaya masing-masing.

“Senang cerita, Malaysia bukanlah negara Barat. Kami bukanlah lebih baik atau lebih buruk, kami hanya berbeza. Memang mudah untuk ahli politik di negara kurang maju bagi memancing undi dengan mengutuk budaya dan nilai-nilai barat. Saya tidak akan bertindak sebegitu,” kata Najib.

Menurutnya, apa yang disifatkan normal dan ketara daripada kaca mata Barat tidak sama dengan apa yang dilihat sebagai suatu yang lazim dan ketara bagi rakyat Malaysia.

“Dan saya kurang bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan melalui laporan sambil lewa oleh sebilangan koresponden yang kurang sofistikated dan kurang berfikir dengan teliti, bahawa nilai-nilai Barat adalah yang unggul.

“Malaysia bukan sebuah negara di mana apa sahaja dibenarkan berlaku. Bagi kami, sesetangah perkara adalah tidak okay,” kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata penduduk Asia tidak harus membuat penilaian tertentu berhubung apa yang berlaku di tempat lain seperti Eropah, Australia dan Amerika Utara.

“Saya sentiasa percaya bahawa daripada mengkritik satu sama lain, adalah lebih baik kita belajar antara satu sama lain,” katanya.

Merujuk pada undang-undang penapisan, beliau berkata wartawan asing mungkin mendapati ia lebih banyak berbanding negara asal mereka.

Perdana Menteri mengakui undang-undang seumpamanya mungkin telah digunakan secara berlebihan sebelum ini tetapi beliau kini melihat ke hadapan dengan mengkaji semula undang-undang berkenaan tahun lepas bagi menjadikan media lebih bertenaga, telus, adil dan melangkaui kepentingan politik tertentu.

“Itu sebabnya saya telah melonggarkan syarat pelesenan media yang berkuatkuasa sejak sekian lama selain memastikan media maya terus bebas daripada sebarang peraturan,” kata beliau.

Sambil menegaskan bahawa liberalisasi media adalah suatu yang nyata dan bukan retorik pilihan raya, Najib berkata sejak menjadi perdana menteri kedudukan Malaysia telah meningkat sembilan anak tangga mengikut indeks kebebasan media yang dikeluarkan pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan.

Najib berkata Malaysia kini secara rasmi merupakan antara negara Asia Tenggara yang mesra media, dan berada di hadapan Thailand, Filipina dan Singapura.

“Ya, masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi tidak dapat dinafikan bahawa perubahan sedang berlaku di Malaysia,” katanya.

Namun begitu, Najib berkata beliau sedar bahawa para editor pasti memilih laporan yang bersifat kritikal berbanding yang berita yang positif.

Beliau mengingatkan wartawan asing bahawa sesuatu isu itu pastinya melibatkan pelbagai sudut dan tidak semudah yang dilihat.

Najib turut berkata bahawa beliau bertekad untuk melihat kerajaan lebih mudah didekati dan dapat memenuhi keperluan mereka.

Leave a Reply