Jangan ragui usaha Malaysia menentang IS kata Najib – Ucapan penuh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu ke 70

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan perbahasan umum sesi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu ke 70 di New York pagi tadi meminta negara luar jangan meragui usaha Malaysia menentang penjenayah tanpa negara seperti Negara Islam (IS).

Ini kerana IS mengancam untuk memusnahkan kedaulatan banyak negara, amat menjelekkan dan seharusnya menjadi penghinaan paling besar terhadap Islam – agama yang mendukung keamanan, kesederhanaan dan keadilan.

Berikut ucapan penuh Najib:

Tuan Presiden,

Tahniah atas pelantikan Tuan sebagai Presiden Sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-70. Pengalaman dan kebijaksanaan Tuan amat bermakna dalam membantu hala tuju kami.

Tema sesi ini – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Pada Usia 70 Tahun: Laluan Ke Hadapan Ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia – memang tepat pada masanya. Ia kerana kita sangat terdesak dalam mencari pendekatan baharu, bangkit mengatasi jurang politik dan meletakkan penduduk sebagai keutamaan, dalam zaman yang menyaksikan pendekatan lama tidak lagi sesuai untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi ketika ini.

Kita berada dalam satu dunia pelbagai negara. Bagaimanapun, konflik baharu dan ancaman yang membahayakan keamanan serta keselamatan tidak mengenal sempadan. Penjenayah tanpa negara seperti Negara Islam (IS), mengancam untuk memusnahkan kedaulatan banyak negara.

Mereka tidak mengehadkan perilaku ganas dan kekejaman mereka dalam lingkungan sempadan harafiah semata-mata. Cekap menggunakan media sosial untuk menarik ahli di segenap pelosok negara, mereka menabur pelbagai janji palsu, meyakinkan ramai anak muda kononnya tindakan kejam itu akan mendekatkan mereka dengan Allah.

Ini amat menjelekkan dan seharusnya menjadi penghinaan paling besar terhadap Islam – agama yang mendukung keamanan, kesederhanaan dan keadilan. Bagaimanapun, puak pelampau ini tidak boleh dikalahkan dengan kaedah tentera tradisional semata-mata.

Tuan Presiden,

Lima tahun lalu, saya berucap dalam perhimpunan ini dan mendesak ke arah Gerakan Global – kesederhanaan semua agama, semua negara – untuk mengurangkan pelampau, kembali kepada asas dan membentuk agenda ke arah keamanan dan suasana pragmatik.

Kami melaksanakannya di Malaysia, menerusi tindakan praktikal dan pembentukan keupayaan intelektual. Asas terhadap usaha ini ialah pengukuhan sifat sebenar Islam, seperti mana kita harus mengakui yang kita ketinggalan dalam perang propaganda menentang apa yang disebut sebagai Negara Islam.

Penjelasan menyimpang mereka tidak ditangkis dengan berkesan bagi mengelak orang ramai menyertai atau menyokong dari jauh. Justeru, adalah amat penting untuk kita menyebarkan kesedaran terhadap kesucian Islam ketika ini. Lebih-lebih lagi dalam keadaan konflik berlaku secara berterusan dan ramai yang mula kehilangan harapan. Itu adalah ‘lubuk’ tempat kumpulan pelampau mencambah benih. Dan mereka yang memperjuangkan ekstremisme untuk memutarbelitkan ajaran sebenar Islam adalah dalang sebenar krisis pelarian dari Asia Barat.

Islam dengan jelas melarang pembunuhan orang awam ketika peperangan. Ia turut secara nyata melindungi golongan minoriti dan menghormati penganut agama lain. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, selain menekankan aspek keadilan dan simpati. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu tidak akan memasuki syurga, sebelum kamu beriman; dan kamu belum dapat beriman sepenuhnya sebelum kamu saling mengasihi seperti mana kamu mengasihi diri sendiri.”

Ini bermakna umat Islam tidak boleh saling bermusuhan. Bukan antara Syiah dan Sunni, yang mungkin mempunyai haluan berbeza tetapi tujuannya tetap sama. Islam mengutuk pemusnahan tapak bersejarah yang menjadi sebahagian daripada warisan kebudayaan dunia.

Antara pembohongan IS termasuk dakwaan kononnya mereka perlu memusnahkan tapak bersejarah berkenaan kerana Nabi Muhammad memusnahkan berhala yang dibina di sekitar Kaabah di Makkah. Perbandingan ini dibuat berdasarkan analogi palsu. Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim sebagai lambang kepercayaan kepada Yang Maha Esa, manakala generasi selepas itu menambah pembinaan berhala. Nabi Muhammad kemudian mengarahkan supaya Kaabah disucikan daripada berhala berkenaan bagi membolehkannya berada dalam keadaan asal untuk pengikut Baginda.

Tapak warisan bersejarah yang dimusnahkan oleh IS tidak pernah menjadi tempat ibadat lambang kesucian Yang Maha Esa sebelum dicemari, justeru justifikasi untuk memusnahkannya tidak boleh diterima. Tambahan pula, Allah berpesan bahawa kawasan dilawati seperti ini yang melambangkan tamadun terdahulu – sesetengahnya kuasa besar pada zamannya tetapi sekarang tidak lagi – adalah peringatan supaya kita tidak bersikap angkuh, sebaliknya mengatur langkah dengan tunduk ke bumi.

Kita mesti memerangi ideologi songsang IS dengan cara ini: menjelaskan mengapa cara mereka adalah tidak Islamik; mengapa tindakan mereka kejam, tidak boleh diterima teologi agama dan mempersendakan Islam yang menuntut kita supaya berilmu, memiliki belas kasihan dan merendah diri.

Tuan Presiden,

Kerajaan Malaysia membentuk badan penting bagi tujuan itu. Sekumpulan sarjana Sunni dan Syiah yang mewakili keratan rentas komuniti Islam global dihimpunkan di Kuala Lumpur. Misi mereka adalah untuk mentakrifkan sebuah Negara Islam berdasarkan pemikiran Islam sepanjang 14 abad yang lalu.

Ia jauh sekali tidak sama dengan entiti di Syria dan Iraq yang mencalari nama itu. Kalangan sarjana ini sepakat menekankan bahawa Negara Islam mesti membawa keadilan dalam setiap bentuk – politik, ekonomi dan undang-undang – kepada rakyatnya. Ia mesti dibuat berdasarkan matlamat Syariah atau Maqasid Syariah, iaitu untuk melindungi dan meningkatkan kehidupan, agama, kebijaksanaan, harta benda, keluarga dan maruah.

Sebuah Negara Islam mesti mempertahankan masyarakat berbeza di bawah pemerintahannya dan mengekalkan agama mereka, bahasa serta tapak bersejarah – seperti firman Allah: “Dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain.” Allah boleh menjadikan kita sebagai komuniti satu agama tetapi Dia tidak berbuat demikian – kerana ingin menguji kita – dan mengarahkan kita untuk saling bersaing dalam menjadi yang terbaik.

Oleh yang demikian, Negara Islam sebenar membantu melaksanakan perintah Allah dalam menguji kemanusiaan, selain mahukan kita untuk berlumba-lumba dari segi kemuliaan, pengetahuan, kebaikan, simpati dan merendah diri – tetapi yang penting, tanpa paksaan. Ini adalah prinsip sebenar Islam. IS tidak mengetahui ideal murni Islam, kelembutannya atau tanggungjawab luhur untuk menjaga dan saling mempelajari daripada umat Islam yang lain. Mereka mencemari kesucian Yang Esa. Mereka mencemari nama agama kita menerusi khalifah yang dilantik sendiri dan tidak mungkin menerima kesetiaan umat Islam sebenar.

Kita perlu menyebarkan mesej ini, kepada umat Islam dan bukan Islam. Saya memohon kepada seluruh umat Islam untuk bangkit bersama satu suara dan biarkan dunia bergema apabila kita katakan kepada

Tuan Presiden,

Jangan ada sesiapa yang meragui kesungguhan Malaysia dalam menangani masalah militan; baik mereka yang berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat persinggahan, mahu pun golongan yang mahu menyemai benih keganasan dan kemusnahan di negara itu. Sebahagian besar daripada langkah ini tidak boleh didedahkan atas sebab keselamatan.

Ini mungkin membuatkan ada pihak menganggap Malaysia tidak mempunyai ancaman keselamatan berikutan tidak pernah diserang pengganas. Itu bukan keadaannya. Pasukan keselamatan kami yang bertugas tanpa henti, kerap memintas cubaan rekrut IS yang dikesan menjadikan Kuala Lumpur sebagai transit.

Usaha kami berjaya menyekat mereka daripada terjerumus ke kancah kegelapan perjuangan di Syria dan Iraq. Bagaimanapun, ada juga yang terlepas. Kami mengenal pasti 39 rakyat Malaysia yang menyertai IS. Dan kami menahan lebih 100 warga Malaysia yang disyaki mempunyai kaitan kepada IS. Ancaman ini adalah benar. Ada juga pihak yang mahu mencetuskan huru-hara di jalanan.

Kami tidak akan membiarkannya dan mereka tidak akan berjaya. Sejak sekian lama, Malaysia telah dan akan kekal menjadi negara yang mana masyarakat berbilang kepercayaan dan kaum hidup bebas dalam suasana makmur serta maju.

Bagaimanapun, kita mesti berusaha lebih keras untuk bersama menangani ancaman ini. Pihak tentera dan keselamatan perlu berkongsi maklumat, manakala negara-negara perlu mengadakan lebih banyak kerjasama, termasuk melakukan tangkapan awal jika perlu. Kita mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan ini.

Apabila bukti ternyata tidak dapat disangkal, kita akan bertindak segera. Jika nyawa rakyat kita diancam menerusi pengeboman pusat beli belah atau stesen, kita pasti dilihat mengabaikan kepercayaan mereka kerana tidak bertindak sebelum terlambat.

Tuan Presiden,

Tahun 2015 memberi kita banyak contoh terhadap pelbagai pendekatan baharu. Sebagai contoh, Amerika Syarikat memperbaharui semula hubungan diplomatik dengan Cuba. Ini adalah pencapaian bersejarah, contoh terbilang yang menyaksikan kesederhanaan menjadi pegangan. Ia memerlukan keberanian. Ia tidak mungkin berlaku jika pihak yang berkenaan berkeras mahu berpegang kepada tatacara politik lama.

Pemimpin yang berfikiran jauh akan meletakkan kepentingan rakyatnya di hadapan. Keberanian sama, Tuan Presiden, diperlukan untuk menyuarakan secara kekal mengenai ketidakadilan yang ditanggung rakyat Palestin sejak 1948. Terlepas daripada hukuman dan ketiadaan peri kemanusiaan ke atas rakyat Palestin sejak berdekad lamanya, membawa kepada peningkatan keganasan, penempatan haram dan pencabulan hak asasi.

Kekecewaan dan kemarahan yang ditanggung rakyat Palestin turut dirasai umat Islam di seluruh dunia. Jika dunia terus menutup sebelah mata terhadap penderitaan mereka, maka kita berkemungkinan berdepan satu lagi malapetaka di Wilayah Diduduki Palestin (OPT).

Kita juga akan gagal mempertahankan hak penentuan nasib sendiri, yang menjadi asas PBB ketika pembentukannya 70 tahun lalu. Sehubungan itu, mengambil kira pertempuran yang berlaku di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis pada sambutan Rosh Hashanah atau Tahun Baharu Yahudi dan serangan ke atas penganutnya tiga minggu lalu, saya meminta Kerajaan Israel mematuhi prinsip etika tertinggi agama Yahudi, dan mesej utama kitab Taurat seperti rumusan pendeta abad pertama Sebelum Masihi (SM), Hillel.

Ketika diminta menjelaskan kandungan Taurat , beliau dirakam sebagai berkata: “Bahawa apa yang menjadi kebencian bagimu, jangan lakukan terhadap sesamamu.” Pernyataan ini, yang dikenali secara sejagat dalam kalangan semua agama sebagai Aturan Emas, boleh menjadi pemangkin terhadap permulaan hubungan baharu antara umat Islam dan Yahudi. Ketika ini, Israel mengambil alih kuasa secara paksa di tempat ketiga paling suci bagi umat Islam itu – melanggar bidang kuasa Raja Abdullah II dari Jordan selaku Penjaga Kawasan Suci. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Israel untuk membantu umat Islam dari seluruh dunia yang berhasrat melawatnya.

Ia kerana setiap umat Islam menyimpan doa dan impian untuk berbuat demikian dalam hayat mereka. Tuan Presiden, Bukan mudah untuk meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Namun demikian, masalah yang dihadapi hari ini memerlukan penyelesaian baharu dan global.

Malaysia akan membangkitkan isu-isu ini sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB – dan memperbaiki Majlis Keselamatan untuk mencerminkan hakikat tahun 2015 dan bukannya 1945, gambaran permulaan baik terhadap pembentukan kerangka global yang baharu serta lebih responsif.

Kami di Malaysia amat memahami betapa itu semua diperlukan. Kami sangat kecewa apabila resolusi mencadangkan pembentukan tribunal antarabangsa bagi insiden pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh, ditolak susulan pelaksanaan kuasa veto. Kami akan terus mencari keadilan menerusi pilihan perundangan lain kerana kami bertanggungjawab melakukannya demi keluarga setiap mangsa yang terkorban dalam jenayah dahsyat itu.

Tidak kiralah sama ada ia membabitkan perubahan dalam PBB, menangani ekstremisme atau masalah pelarian, kita memerlukan usaha bersama yang lebih tuntas. Kita mesti mencermin diri dan tradisi sendiri ke arah pengwujudan mekanisme baharu. Kami yakin kuncinya adalah kesederhanaan. Kesederhanaan tidak bermaksud kita lemah.

Sebaliknya, ia adalah keberanian dan menunjukkan kekuatan. Kekuatan untuk menegakkan keamanan dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Ia adalah dasar yang melingkari semua ketamadunan dan kepercayaan. Islam merangkumnya menerusi konsep ‘wasatiyyah’, Konfusianisme sebagai ‘chung yung’ – kedua-duanya bermaksud ‘jalan tengah’ atau ‘Laluan Pertengahan’.

Bagaimanapun, kita mesti meneroka semula dasar ini dan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 di Malaysia pada April lalu, kami memperkukuhkan komitmen terhadap pendekatan ini menerusi Deklarasi Langkawi Mengenai Gerakan Kesederhanaan Global. Malaysia sentiasa bersedia berkongsi pengalamannya dalam menegakkan Islam dan mengecilkan ekstremisme; melaksanakan matlamat Syariah sambil mengamalkan demokrasi; mengekalkan masyarakat pelbagai kaum yang mana rakyat berbeza kepercayaan hidup bersama dalam suasana aman; dan menunjukkan Islam bukan hanya boleh berjaya tetapi turut memacu kemajuan serta pembangunan kejayaan ekonomi.

Tuan Presiden,

Dalam kita bekerjasama menyelesaikan penderitaan membabitkan kemiskinan, kebencian, perang serta bencana buatan manusia dan semula jadi yang menimbulkan krisis pelarian seperti dilihat hari ini, kita mesti berganjak daripada tradisi kerohanian dan limpahan semangat yang mengatasi sempadan keperluan perundangan. Surah ‘Abasa, surah ke-80 dalam al-Quran, bermula dengan teguran Allah ke atas Nabi Muhammad – yang dianggap umat Islam sebagai Kekasih Allah – kerana Baginda bermasam muka dan berpaling daripada pengikutnya iaitu seorang buta dan miskin yang mencelah untuk bertanya ketika Baginda sibuk mengajar seorang kaya dan berkuasa yang tidak mempercayai Islam.

Jika Allah boleh menegur Nabi Muhammad, bagaimana kelak kita, masyarakat Islam terutama pemimpin dunia, bakal ditegur Yang Mencipta jika kita ‘bermasam muka dan memalingkan muka’ daripada umat Islam yang miskin dan tertindas, kini secara beramai-ramai melarikan diri dari Syria – hingga menyebabkan tekanan sosial dan ekonomi di Eropah? Bukankah kita juga memikul sebahagian tanggungjawab atas sebarang tentangan Eropah terhadap Islam, agama yang kita cintai, dan terhadap sesama Islam? Inilah sebabnya mengapa sejak beberapa tahun lamanya,

Malaysia menerima mereka yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penindasan. Ketika ini, kami melindungi ribuan pelarian dan terus menerima kumpulan itu awal tahun ini berikutan situasi kemanusiaan yang mendesak di Laut Andaman.

Saya dengan bangganya ingin mengumumkan hari ini, bagi membantu menangani krisis pelarian yang sedang dihadapi, Malaysia turut bertanggungjawab dan akan membuka pintunya bagi menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang. Penyelesaian baharu di peringkat antarabangsa amat diperlukan dalam menangani krisis pelarian ini. Jutaan yang melarikan diri itu adalah manusia seperti kita.

Kita wajar mengambil berat. Kita mesti menghormati nilai kemanusiaan sejagat. Hanya apabila kita merentasi keterasingan kaum dan kepercayaan; tatkala kita melihat pelbagai gambar pelarian yang terdesak, mangsa kumpulan pelampau, dan mereka yang hidup dalam tekanan kebuluran serta kemiskinan – kita bukan melihat sesiapa melainkan saudara sendiri; dan apabila kita melihat paparan menyayat hati Aylan Kurdi yang berusia tiga tahun terdampar di pantai – dan melihat wajah anak sendiri pada wajah anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu – kita akan bertindak jauh lebih baik. Masyarakat di seluruh dunia merintih supaya kita membantu. Kita tidak boleh – tidak sepatutnya – berlalu begitu sahaja.

Terima kasih.

Leave a Reply