Kawal nafsu ketika berbuka #Ramadhan - pakdin.my

buffet ramadhan

Apabila tiba saja waktu berbuka, pasti ramai yang hendak ‘melantak’ apa saja hidangan tanpa memikirkan kesan pada kesihatan tubuh badan. Kerana terlalu mengikut hawa nafsu, kadangkala kita tidak berhati-hati ketika memilih makanan yang sesuai untuk berbuka puasa.

Walaupun didorong rasa lapar, tidak perlu terburu-buru ketika membeli juadah sebaliknya mengenal pasti apa jenis makanan yang elok untuk berbuka puasa bagi mengelak masalah keletihan dan juga lain-lain penyakit. Justeru, pemilihan makanan yang baik itu penting untuk memelihara kesihatan tubuh badan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Ikuti tips di bawah untuk pemakanan yang lebih seimbang ketika waktu berbuka puasa.

Ketika membeli juadah, tidak perlu berlebihan dan terlalu mengikut nafsu makan. Kata orang, biar berpada-pada agar duit jimat dan tidak dibazirkan pada sesuatu dengan berlebihan. Walaupun rasa lapar ‘memaksa’ perut untuk makan berlebihan, itu sebenarnya adalah dugaan di bulan mulia ini dan kita tidak perlu menurut hawa nafsu semata-mata.

Jika anda seorang yang gemar menjadikan nasi putih sebagai menu utama, pastikan kuantitinya sama dengan sayuran kerana ia berfungsi melambatkan proses penukaran karbohidrat kepada gula. Minuman berkafein juga perlu dielakkan sewaktu berbuka kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit gastrik.

Seelok-eloknya sesudah tiba waktu berbuka, elakkan dari makan nasi atau makanan yang berat sebaliknya isikan perut dengan makanan yang mempunyai komposisi kecil iaitu kurma dan buah-buahan. Kurma bertindak sebagai karbohidrat yang kompleks dan tidak mengandungi gula.

Elakkan dari mengambil minuman bergas semasa berbuka puasa. Perut anda yang ‘kosong’ selama lebih 10 jam memerlukan khasiat dan vitamin bukannya minuman berkarbonat yang boleh merosakkan sistem penghadaman. Lebih teruk lagi, anda mungkin mengalami sakit perut akibat gas yang terdapat dalam minuman itu.

Bagi perokok tegar, tidak elok untuk menjadikan rokok sebagai ‘hidangan’ pertama semasa berbuka. Kandungan nikotin yang terdapat dalam rokok boleh merosakkan sistem penghadaman kerana kekurangan khasiat akibat berpuasa seharian.

Orang tua-tua sering nasihatkan untuk mengambil minuman tanpa gula semasa berbuka. Minuman seperti air kelapa, jus tembikai adalah lebih elok diminum kerana boleh menghilangkan dahaga dan lebih berkhasiat berbanding minuman yang mengandungi jumlah gula yang banyak.

Akhir sekali, elakkan dari mengambil hidangan dengan komposisi yang banyak. Contohnya, anda meletakkan pelbagai jenis lauk dalam satu pinggan. Ini akan mengakibatkan perut buncit dan rasa letih serta mengantuk selepas menikmati hidangan itu.

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAKawal nafsu ketika berbuka #Ramadhan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium