Kejayaan Menyelamat Mangsa, Kepuasan Anggota Penyelamat - pakdin.my

 jpam-banjir-kuantan

Menyelamatkan mangsa banjir dan membawa mereka ke pusat pemindahan dengan selamat memberi kepuasan kepada Aziz Ab Rahman, seorang anggota penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran mengharungi banjir setiap tahun di Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu, Aziz, 53, berkata segala keletihan yang dihadapinya terubat apabila melihat mangsa banjir mampu untuk terus tersenyum dan bersabar menghadapi bencana alam itu.

Menyertai jabatan itu pada usia 23 tahun, Aziz menyifatkan tugasnya selama lebih 13 tahun di Kuala Krai, antara jajahan yang dilanda banjir hampir setiap tahun, adalah tugas yang penuh mencabar memandangkan ia terletak di kawasan pedalaman.

“Di sesuatu kawasan yang ditenggelami banjir, kita yang mengendalikan bot menghadapi banyak cabaran seperti arus yang deras, terlanggar tunggul kayu atau batang balak hanyut, perkampungan yang ditenggelami banjir terletak jauh dari pusat pemindahan, apa pun kita mesti sampai dan membawa penduduk terlibat ke pusat pemindahan dengan selamat,” katanya.

Aziz yang kini merupakan Penolong Pegawai Pertahanan Awam (Bahagian Pengurusan Angkatan) JPAM Kelantan, berkata tugas menyelamat sekitar tahun 1980-an dan awal 1990-an berbeza dengan tugas menyelamat sekarang ini yang banyak dibantu dengan pelbagai kemudahan pengangkutan dan peralatan termasuk alat komunikasi yang baik.

penyelamat-banjir
“Dahulu (sekitar tahun 1980-an) mana ada walkie talkie dan handphone, kita berhubung masa tu menggunakan talian telefon. Operasi menyelamat bermula dari pukul 7 pagi hingga 7 malam sahaja kerana bergerak di waktu malam berbahaya,” katanya yang bersyukur tidak pernah menghadapi saat cemas bot karam ketika menjalankan tugas menyelamat.

Beliau berkata bagi penduduk yang menghadapi banjir setiap tahun, apabila memasuki bulan Oktober mereka sudah membuat persiapan untuk berpindah kerana kebiasaannya gelombang banjir akan berlaku dua tiga kali sebelum berakhirnya musim tengkujuh pada Mac.

“Dahulu sekitar 1980-an penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan membawa bersama bekalan makanan seperti beras, ikan kering, ubi, pisang dan lain-lain…cukuplah untuk mereka dua tiga hari,” katanya, berbeza sekarang ini apabila bekalan makanan dan keperluan harian lain sudah disediakan kerajaan di pusat pemindahan berkenaan.

Dalam melaksanakan operasi menyelamat itu, Aziz dan anggota penyelamat lain turut berhadapan dengan karenah penduduk yang enggan berpindah sehingga mereka dimarahi.

“Bagaiamana pun kami tidak mengambil peduli dengan sikap marah penduduk itu, kami terus membuat rondaan menyelamatkan penduduk lain yang mahu berpindah. Akhirnya penduduk terbabit yang ketika itu terpaksa duduk di bumbung rumah yang hampir ditenggelami air mengikut kami ke pusat pemindahan,” katanya.

Beliau menasihati penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir agar membuat persiapan awal untuk berpindah dan jangan menunggu di saat-saat akhir.

Aziz adalah antara lebih 3,500 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkan untuk operasi bantuan dan menyelamat di Kelantan di musim tengkujuh sekarang ini.

JPAM juga mempunyai lebih 30,000 sukarelawan di seluruh negeri ini yang bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi bencana alam.

Jumlah mangsa banjir tertinggi bagi kejadian banjir 4 hingga 9 Dis baru-baru ini adalah di jajahan Pasir Mas dengan 3,029 orang berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Banjir yang turut melanda Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Tumpat itu dianggap sebagai persiapan bagi pasukan penyelamat kerana banjir lazimnya akan berlaku beberapa kali lagi sebelum berakhirnya musim tengkujuh yang sedang melanda negeri pantai timur.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan sehingga ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan kelewatan dalam pengagihan bantuan kepada kesemua mangsa banjir berkenaan.

Kesemua mereka yang dipindahkan itu juga berpuas hati dengan peranan agensi kerajaan dalam membantu mereka berpindah dan segala kemudahan yang diberikan kepada mereka di pusat pemindahan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut meluangkan masa melawat kawasan bencana itu di beberapa tempat di negeri ini.

Kejadian banjir di negeri ini dipengaruhi oleh beberapa sungai utama iaitu Sungai Galas (menyebabkan banjir di Gua Musang), Sungai Lebir (Kuala Krai), Sungai Kelantan (Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Baharu), Sungai Golok (Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh).

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir Negeri Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata jawatankuasa berkenaan di peringkat negeri dan daerah sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir.

Telah disediakan sebanyak 170 pengkalan hadapan bencana banjir iaitu pusat bekalan makanan dan keperluan harian lain iaitu Tanah Merah (39), Pasir Mas (33), Kuala Krai (26), Tumpat dan Jeli masing-masing 14, Pasir Puteh (13), Gua Musang (12), Bachok (7), Kota Baharu dan Machang masing-masing enam.

Pusat pemindahan pula adalah sebanyak 729 buah seperti sekolah dan balai raya, yang mampu menempatkan lebih 150,000 orang. Bilangan pusat pemindahan paling banyak adalah di Kota Baharu (141), Pasir Mas (109), Kuala Krai (108), Tanah Merah (84), Machang (82), Pasir Puteh (60), Gua Musang (54), Jeli (40), Tumpat (32) dan Bachok (19).

Sebanyak 105 tapak pendaratan helikopter disediakan bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat iaitu Gua Musang (27), Kota Baharu (16), Pasir Mas (11), Tanah Merah (10), Jeli dan Bachok masing-masing 9, Tumpat dan Machang masing-masing 7, Kuala Krai (5) dan Pasir Puteh (4).

Bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah di negeri ini, pengalaman berpindah ke pusat pemindahan adalah perkara biasa dan mereka boleh menjangkakan bila masanya kampung mereka akan dilanda banjir. Ini membolehkan mereka membuat persiapan awal.

Dalam tinjauan banjir di Kuala Krai baru-baru ini, penduduk terlibat rata-ratanya mengakui mereka telah membuat persiapan untuk berpindah apabila berlaku kekerapan hujan lebat pada musim tengkujuh.

Mek Yam Ahmad, 67, dari Guchil 6, berkata air mula memenuhi ruang rumahnya sedalam kira-kira 0.2 meter sejak pukul 6 petang pada 3 Dis, menyebabkan beliau dan suami serta cucunya yang berusia enam tahun berpindah ke pusat pemindahan banjir di Dewan Pejabat Veterinar Kuala Krai.

“Saya sempat memindahkan pelbagai barangan ke tempat selamat kerana sudah menjangka banjir di kawasan ini…ini perkara biasa yang kami terpaksa tempuhi sepanjang musim tengkujuh.

“Saya berpindah selepas air mencecah paras pinggang. Ketika musim tengkujuh, saya terpaksa berpindah tiga hingga empat kali ke pusat pemindahan banjir kerana rumah terletak di kawasan rendah,” katanya.

Kalangan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai juga mempunyai sampan yang diperbuat daripada kayu atau bot gentian kaca bagi memudahkan mereka menyelamatkan diri ketika musim banjir.

UTAMABERITAKejayaan Menyelamat Mangsa, Kepuasan Anggota Penyelamat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium