Kematian Kim Jong-Nam: Polis Tahan Suspek Wanita Vietnam Di KLIA2 - pakdin.my

20170215-pembunuhan-kim-jong-nam

Polis mengesahkan penahanan seorang wanita warga Vietnam yang merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek wanita berusia 29 tahun itu bernama Doan Thi Huong.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Khalid berkata, suspek dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang dan bersendirian ketika ditahan hari ini.

Dalam pada itu, seorang pegawai polis kanan di Bukit Aman yang dipetik Oriental Daily berkata, polis juga sedang memburu 4 lelaki dan seorang lagi wanita yang merupakan suspek utama dalam kes itu.

Pegawai polis kanan itu mengesahkan polis Selangor menahan suspek itu di klia2, pagi tadi.
Katanya, suspek yang tiba-tiba muncul dan berlegar di klia2 itu ditahan polis selepas mengenal pasti wajahnya sama dengan wanita dalam CCTV sebelum ini.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek itu menginap di sebuah hotel di Salak Tinggi dan ditinggalkan 5 suspek lain selepas melakukan jenayah berkenaan.

“Polis melalui rakaman mendapat tahu 2 wanita Vietnam itu menyembur racun ke muka Kim Jong-Nam, manakala 4 lagi lelaki memerhatikan mereka dari sebuah restoran Nyonya di lapangan terbang itu.

“Selepas 2 wanita itu selesai melancarkan serangan, mereka (4 lelaki itu) dibahagikan kepada 2 orang sekumpulan untuk melarikan diri.”

Difahamkan, suspek wanita itu dalam keterangannya kepada polis memaklumkan 4 suspek lelaki berkenaan terdiri daripada lelaki warga Vietnam dan Korea Utara.

Selepas tiba di hotel, 4 lelaki dan salah seorang suspek wanita yang melancarkan serangan itu tiba-tiba meninggalkan hotel berkenaan.

Menurut polis, mereka sudah mengenal pasti 5 suspek yang melarikan diri itu adalah perancang bersama pembunuhan berkenaan dan operasi memburu mereka giat dijalankan.

Dalam pada itu, pemandu teksi warga tempatan yang ditahan sebelum ini dibebaskan hari ini, selepas polis mengenal pasti beliau tidak terbabit dalam kes itu.

Terdahulu, Oriental Daily memetik seorang pegawai polis kanan di Bukit Aman berkata, polis menahan seorang pemandu teksi di sekitar ibu negara pada petang Isnin kerana membawa 2 perisik wanita Vietnam dari klia2 di Sepang.

Menurut sumber yang dipetik akhbar itu, 2 ejen terbabit keluar dari lobi klia2 dan segera menaiki sebuah teksi yang sudah menunggu mereka.

Semalam, Reuters memetik ketua polis yang bertanggungjawab untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, seorang lelaki Korea sekitar umur 40-an ditemui dalam keadaan sakit di lapangan terbang itu, kelmarin.

Katanya, pihak berkuasa lapangan terbang segera membawanya ke hospital, tetapi beliau mati dalam perjalanan.

Seorang kakitangan di wad kecemasan Hospital Putrajaya pula berkata, mereka ada mayat seorang warga Korea yang dilahirkan pada 1970 dan memiliki nama keluarga Kim.

Menurut laporan media, mangsa yang maut itu ialah Kim Chol yang sebenarnya Kim Jong-Nam, hidup dalam buangan di Macau dan ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang ke sana dari Malaysia.

UTAMABERITAKematian Kim Jong-Nam: Polis Tahan Suspek Wanita Vietnam Di KLIA2

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium