Kemelut Pakatan Pembangkang: Azmin akui perjelas isu pada Sultan

kemelut-pakatan-azmin-perjelas-sultan

Menteri Besar Negeri Selangor, Mohamed Azmin Ali mengakui mempersembahkan masalah dalaman PR yang berlaku ketika ini di peringkat nasional kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Walau bagaimanapun beliau memberi jaminan keadaan masih terkawal dan dapat menangani semua permasalahan dengan professional.

“Saya memberi jaminan kestabilan dan keutuhan Kerajaan Negeri Selangor untuk terus fokus kepada usaha memenuhi aspirasi rakyat melalui penjanaan pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.

“Tuanku Sultan mengambil maklum tentang penjelasan yang saya berikan dan Baginda mahu Kerajaan Negeri Selangor terus stabil untuk membangunkan Negeri Selangor dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ia dimaklumkan ketika membentangkan urusan kerajaan sebelum mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

Pada masa yang sama, Azmin turut memaklumkan Sultan Sharafuddin progress kemajuan dalam usaha memuktamadkan Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor.

Sebelum ini hangat diperkatakan, Azmin mengadakan pertemuan tertutup dengan Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan sekaligus membangkitkan spekulasi mengenai isu nasib dan masa depan kemelut PR yang bertelagah ketika ini.

Leave a Reply