Kemelut Pakatan Pembangkang: Azmin bincang dengan Sultan Selangor?

sultan-selangor-istiadat-pembukaan-persidangan-dun

Menteri Besar, Mohamed Azmin hari ini me­ngadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mengadakan perbincangan dengan ba­ginda di Istana Bukit Kayangan di sini, ketika pentadbiran pakatan pembangkang termasuk negeri ini sedang berhadapan kemelut politik akibat pergeseran di antara Pas dan DAP.

Mohamed Azmin sebelum itu hadir di istana berkenaan bagi me­ngiringi baginda sempena istiadat penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Selangor; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor; Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Se­langor dan para Pendaftar serta Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Bagaimanapun, Mohamed Az­min kemudiannya menghadap dan mengadakan perbincangan hampir satu jam dengan Sultan Selangor selepas istiadat tersebut selesai kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Namun, tidak dapat disahkan sama ada perbincangan tersebut melibatkan isu politik semasa yang melanda pakatan pembangkang ketika ini atau sebaliknya.

Pada 18 Jun lalu, Mohamed Azmin menegaskan adalah tidak adil untuk mengheret institusi ke­sultanan dalam krisis politik kerana beliau tidak ada keperluan untuk menjelaskan isu tersebut kepada baginda.

Kenyataan itu dibuatnya selepas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada Khamis lalu menyatakan Menteri Besar Selangor itu akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu susulan krisis dalam pakatan pembangkang.

Menurut Rafizi, ia membolehkan penjelasan sebenar situasi politik diberi dengan teliti kepada Sultan Selangor selain untuk pengetahuan rakyat negeri ini susulan DAP sebelum ini mengumumkan bahawa ikatan politik pakatan pembangkang yang dimulakan pada 2008 sudah tidak lagi wujud, berikutan usul muktamar Pas lalu yang memutuskan hubungan dengan parti itu.

Leave a Reply