Kenyataan Akhbar –  'Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya Menjulang Semangat Negaraku Prihatin'  - pakdin.my

1. YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini mengumumkan keputusan untuk melaksanakan ‘Misi Kemanusiaan untuk Rohingya’ yang mendukung penuh semangat ‘Negaraku Prihatin’. Ianya suatu misi bantuan bersepadu untuk membekalkan keperluan serta bantuan segera kepada pelarian-pelarian yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.

2. YAB Dato’ Sri Mohd Najib menegaskan misi yang diketuai oleh Angkatan Tentera Malaysia ini, merupakan manifestasi bantahan Malaysia sekerasnya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya. Misi yang disokong oleh badan sukarelawan iM4U ini telah memulakan operasi dan bersedia untuk bertolak Sabtu ini bagi meninjau serta menilai keadaan sebenar di kem-kem pelarian tersebut.

3. Ia seterusnya bakal menyaksikan penghantaran bantuan keperluan yang diuruskan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines dan akan diedarkan oleh pasukan sukarelawan rakyat Malaysia yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air. Bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan secara lebih efektif, perbincangan akan turut diadakan bagi rancangan menempatkan sebuah hospital tentera di daerah tersebut dengan persetujuan lanjut pihak berkuasa Bangladesh.

4. Sebagai komuniti ASEAN yang  berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat, Kerajaan Malaysia menggesa Kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan kemelut ini berpandukan prinsip perlindungan hak asasi manusia yang turut termaktub di dalam ASEAN Charter dan ASEAN Human Rights Declaration serta Resolusi yang telah dicapai melalui Extraordinary Session of the OIC Council of Foreign Ministers pada 19 Januari 2017. Melalui bantuan kemanusiaan ini, hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Bangladesh dijangka meningkat untuk kebaikan bersama.

5. Perdana Menteri turut menyeru rakyat untuk bersatu hati menjayakan misi ini dengan bersama memberikan bantuan secara kolektif dan berkesan melalui saluran-saluran rasmi yang akan diumumkan kelak. Misi ini diharapkan dapat membawa hasrat seluruh rakyat Malaysia dan menjulang semangat ‘Negaraku Prihatin’ berlandaskan hak keamanan bagi setiap insan.

PEJABAT PERDANA MENTERI Najib Razak

8 September 2017

#TearsForRohingya

UTAMABERITAKenyataan Akhbar -  'Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya Menjulang Semangat Negaraku Prihatin' 

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium