Kerajaan Akui 2 Juta isi Rumah Berpendapatan Kurang RM3,000 Sebulan

kos-sara-hidup

Kerajaan mengakui masih terdapat dua juta isi rumah di negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah itu berdasarkan 28.7 peratus daripada tujuh juta keseluruhan isi rumah di Malaysia.

“Kita belum selesa kerana walaupun pendapatan rakyat meningkat, masih ramai lagi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung kadar pergerakan gaji atau pendapatan seiring dengan pergerakan kos hidup purata tahunan rakyat.

Bagaimanapun Abdul Wahid berkata, berdasarkan kajian pendapatan isi rumah pada 2009, 2012 dan yang terkini pada tahun ini, wujud peningkatan sebanyak lapan peratus.

“Berdasarkan kajian tersebut, purata pendapatan isi rumah meningkat dari RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012 dan kepada RM5,919 pada 2014.

“Manakala pendapatan penengah atau median telah meningkat dari RM2,830 pada 2009 kepada RM3,626 pada 2012 dan kepada RM4,258 pada 2014,” katanya.

Selain itu Abdul Wahid berkata, pada masa sama indeks harga pengguna juga meningkat dari 98.3 peratus kepada 110 iaitu peningkatan sebanyak 2.3 peratus setahun.

“Ini bermakna pendapatan isi rumah meningkat lebih tinggi berbanding peningkatan kadar inflasi dalam jangka masa lima tahun terakhir ini.

“Ini berikutan langkah kerajaan yang memfokuskan kepada golongan pendapatan 40 peratus isi rumah terendah termasuk pengenalan gaji minima, BR1M dan lain-lain usaha meningkatkan kemahiran golongan tersebut supaya mendapat pekerjaan dan peluang perniagaan dengan pendapatan lebih tinggi,” katanya.

Leave a Reply