KERAJAAN PAKATAN SELANGOR MACAM BERUK DAPAT BUNGA – DR KHIR - pakdin.my

20101027-khir-toyo

Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor

1. Salah satu perbincangan hangat sekarang ialah mengenai masa depan industri air bersih di Lembah Klang. Ramai yang berasa khuatir dan bimbang Lembah Klang akan mengalami krisis air yang lebih serius daripada 1998 jika kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini menjadi kenyataan.

2. Kajian oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang. Pelbagai kajian dilakukan termasuk mendapatkan air di Perak, namun akhirnya kos mendapatkan air dari Pahang yang paling murah.

3. Justeru kerajaan Persekutuan telah bersetuju membiayai Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor yang bernilai sekitar RM3.936 bilion. Sebahagian besar pembiayaan projek adalah melalui pinjaman Japan International Cooperation Agency (JICA) dan selebihnya dibiayai geran Kerajaan Persekutuan. Perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada 31 Mac 2005 memperuntukkan bahawa JICA akan menanggung sebanyak 75 peratus daripada kos kerja pembinaan manakala baki 25 peratus lagi akan ditanggung Kerajaan Pusat.

4. Justeru apabila kerajaan negeri berusaha menangguhkan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat, kerajaan persekutuan perlu menanggung beban kewangan termasuk peningkatan kadar faedah daripada pinjaman.

5. Tindakan kerajaan negeri bermain politik dalam isu air ini sangat tidak munasabah. Penstrukuturan air, kenaikan harga air dan pembinaan loji pembersihan air di Hulu Langat adalah isu yang berasingan. Khalid Ibrahim memperjudikan nasib penduduk lembah klang hanya untuk menunjukkan beliau menjadi juara rakyat dalam masa yang singkat tetapi merosakkan masa depan rakyat untuk mendapat bekalan air bersih.

Sejarah Industri Air Selangor

6. Sebelum menunding jari kepada kerajaan Pusat atau mana-mana pemimpin kita perlu memahami sejarah industri air di Selangor terlebih dahulu. Pada awalnya semua industri air dikawal selia oleh Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS). Kemudiannya timbul keperluan untuk meningkatkan kualiti rawatan air akibat banyak kritikan ketika itu. Justeru itu pada 1997, kerajaan negeri melantik Puncak Niaga sebagai pengendali 27 loji rawatan air di Selangor.

7. Pada 1998, berlaku satu krisis air yang serius di Lembah Klang. Ini menyebabkan kerajaan negeri mencari kaedah untuk menambah jumlah empangan. Pada 1999, Konsortium ABBAS telah dilantik untuk membina dan mengendalikan empangan dan loji air Sungai Semenyih. Pada tahun yang sama satu lagi syarikat, Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH)telah diberi tanggungjawab membina dan mengendali Loji air Sungai Badung, Selangor yang berharga lebih RM 2 Bilion.

8. Pada 2001, semasa dibawah pentadbiran saya, terdapat banyak aduan dan kritikan mengenai kualiti air. Selain itu JBAS juga mengalami kerugian kerana kehilangan air yang tidak digunakan (Non revenue water [NRW]) sekitar 45%. NRW yang tinggi ini juga menyebabkan JBAS rugi kerana jumlah air yang dibayar oleh pengguna kurang daripada jumlah air yang dibayar oleh JBAS kepada pengendali loji.

9. Setelah kajian dijalankan didapati kedua-dua masalah ini berpunca daripada sistem paip lama yang berkarat dan bocor. Untuk menggantikan keseluruhan paip lama sepanjang 2, 400 KM ini memerlukan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM 2 bilion. JBAS tidak mampu melakukannnya secara bersendirian. Justeru JBAS diperbadankan dengan nama Perbadanan Air Negeri Selangor PUAS). Selepas Puas diperbadankan, ia berusaha mendapatkan pinjaman daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM 2 bilion bagi program penggantian paip lama. Bagaimanapun ia ditolak kerana JBAS masih mempunyai hutang sebanyak RM 756 juta kepada Pusat.

10. Kerajaan Persekutuan mencadangkan agar PUAS diswastakan kepada Syabas dengan hasrat Syabas menanggung kos penggantian paip-paip tersebut.

11. Satu perjanjian antara kerajaan negeri dan Syabas telah disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Walaupun terdapat fasal-fasal mengenai kenaikan tarif air namun ia mesti dipersetujui secara bersama antara Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Syabas setiap kali ada permintaan untuk menaikkan tarif tersebut. Kerajaan negeri telah meminta diwujudkan Panel Penentuan Tarif Air yang membabitkan wakil negeri, persekutuan dan Syabas dan juga Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji setiap asepek sebelum permohonan kenaikan tarif diluluskan.

12. Selain itu, perjanjian tersebut turut mensyaratkan Syabas melakukan penggantian paip sepanjang 2400 KM menggunakan barangan tempatan, mengurangkan NRW kepada bawah 25% dan meningkatkan kualiti air sebelum boleh membuat sebarang tuntutan kenaikan tarif. Semua ini gagal dipenuhi oleh Syabas.

Penstrukturan Semula Air Selangor

13. Apabila Syabas gagal memenuhi syarat perjanjian termasuk menggunakan paip buatan tempatan dalam penggantiannya, kerajaan negeri memutuskan untuk menstrukturkan semula industri air di Selangor. Pada 2006, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memulakan pelan pengambil alihan semua syarikat yang terbabit dalam industri air di Selangor seperti Abbas, Splash, Puncak Niaga dan Syabas.

14. Usaha penstrukturan semula ini berlaku pada 2007 apabila KDEB telah mengambil alih ABBAS dan mula berunding untuk mengambil alih Splash, Puncak Niaga dan Syabas. (lihat laporan THE EDGE MALAYSIA pada 12 Nov 2007). Tujuan penstrukturan semula ini bagi membolehkan syarikat yang menguruskan air mendapat keuntungan lebih dan mengurangkan tarif air pada masa akan datang melaluicross subsidization. Dalam keadaan sekarang hanya pengendali loji yang mendapat keuntungan maksimum, manakala pembekal air terpaksa menanggung kerugian akibat NRW dan kegiatan “curi air”. Pembekal terpaksa membayar penuh kepada pengendali loji tetapi berhadapan kerugian 45% berdasarkan NRW.

15. Usaha penstrukturan semula ini sewajarnya dikendalikan sepenuhnya oleh KDEB memandangkan ia anak syarikat milik penuh kerajaan negeri. Namun ia mungkin sukar dilaksanakan pada masa sekarang memandangkan KDEB sendiri mempunyai hutang beratus juta kepada kerajaan negeri hasil pelaksanaan sistem subsidi air yang dijalankan sejak dua tahun lalu. Kerajaan negeri dilaporkan telah meminjamkan sejumlah RM 200 juta kepada KDEB untuk dibayar kepada Syabas bagi skim subsidi 20 meter padu air percuma. Sehingga kini hanya RM 28.2 juta dibayar semula oleh KDEB kepada kerajaan negeri. Dari segi prestasi kewangan sukar sama sekali KDEB mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan bagi membiayai proses pengambil alihan Syabas dan lain-lain syarikat.

16. Penstrukturan semula ini juga selari dengan penubuhan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan Perbadanan Air Berhad (PAB) di peringkat Pusat. SPAN akan mengawasi keseluruhan industri air negara dan mengeluarkan lesen kepada pengendali air negeri-negeri. Manakala PAB akan mengambil alih semua infrastruktur air negeri-negeri dan menyewakan semula kepada pengendali air negeri-negeri. Melalui kaedah ini, isu-isu penggantian paip, pembinaan empangan dan loji rawatan akan berada di bawah PAB dan pengurusan kewangan Persekutuan. Ini akan memberi kualiti pengurusan air yang lebih baik pada masa akan datang.

Politik Air Pakatan Rakyat

17. Perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang suka bermain politik daripada menyelesaikan isu ini secara profesional menyebabkan segala-galanya terganggu dan terencat sekarang ini.

18. Saya tidak nampak mengapa kerajaan negeri harus mengugut untuk tidak meluluskan pembinaan loji di Hulu Langat sekiranya mereka gagal menstrukturkan semula industri air Selangor.

19. Ia adalah dua isu yang berasingan dan membabitkan pihak yang berlainan. Pembinaan infrastruktur penyaluran bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor adalah projek Persekutuan. Manakala penstrukturan ini membabitkan syarikat-syarikat Berhad.

20. Jadi bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka “bergaduh” dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham? Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?

21. Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas.

22. Ketika saya menyokong usaha kerajaan negeri meneruskan kerja-kerja menyusun semula industri air Selangor, saya kecewa melihat sikap kerajaan negeri menangguhkan projek pembinaan loji air di Hulu Langat.

23. Inilah yang dikatakan “lain Bengkak, lain Bernanah, lain yang yang Sakit, lain pula yang diubati.”

24. Saya berharap kerajaan negeri Selangor tidak bermain politik dalam isu bekalan air bersih di Lembah Klang. Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim mengaitkan isu pembinaan loji di Hulu Langat dengan penstrukturan semula pengendali bekalan air bersih di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tidak masuk akal dan boleh menjejaskan bekalan air bersih pada masa akan datang.

25. Memang kerajaan negeri berhak untuk membantah kenaikan air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan saya ingin nyatakan sokongan penuh terhadap bantahan tersebut. Namun mengapa mahu dikaitkan dengan pembinaan loji yang merupakan projek masa depan untuk rakyat?

26. Kos bekalan air di Selangor akan meningkat lebih tinggi sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membina loji rawatan air di Pahang bagi menggantikan loji di Hulu Langat. Jika itu berlaku, apabila berlaku krisis bekalan air nanti, Selangor perlu membeli harga air bersih dari Pahang yang harganya jauh lebih tinggi.

27. Alasan Tan Sri Khalid kononnya masalah bekalan air bersih di Lembah Klang tidak akan berlaku pada 2014 tetapi pada 2019 tidak pernah disokong oleh fakta atau mana-mana data penyelidikan. Sampai hari ini kita tertanya-tanya siapakah yang dilantik oleh Tan Sri Khalid bagi menjalankan penyelidikan tersebut?

28. Namun persoalan lebih releven ialah, jika berbeza 5 tahun sahaja mengapa kita perlu tangguhkan sedangkan masalah tetap akan timbul. Dalam industri pembinaan, penangguhan beberapa tahun sahaja sudah boleh menyebabkan kos pembinaan meningkat berkali ganda. Apakah kerajaan negeri akan menanggung kenaikan kos ini? Jika mahu pun mampukah kerajaan negeri?

29. Rakyat harus bijak membuat penilaian dan mendapat semua fakta bukan sekadar mempercayai sandiwara dan lakonan politik kerajaan negeri. Ini kerana mereka yang berhadapan dengan krisis kuasa dan melihat tiada masa depan politik akan mengambil pendekatan populis. Peduli apa dengan apa yang berlaku lima enam tahun lagi kerana mereka mungkin sudah tiada ditampuk kuasa untuk berhadapan dengan kemarahan rakyat.

30. Kerana benci kepada Barisan Nasional dan pemimpin tertentu ada orang sanggup menerima apa sahaja tohmahan kerajaan negeri tanpa berfikir dengan rasional dan melihat fakta yang ada. Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Dan ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.

31. Malangnya, kerajaan Selangor hari ini yang masuk dalam keadaan segala-galanya telah tersedia, seperti kata orang hanya “cuci kaki sahaja”, ingin pula menunjukkan jaguh tanpa mengambil kira kesan jangka panjang. Sikap kerajaan negeri hari ini tidak ubah seperti beruk mendapat bunga.

Posted by Dr Mohamad Khir Toyo at Monday, October 25, 2010 10 comments
UTAMAPOLITIKKERAJAAN PAKATAN SELANGOR MACAM BERUK DAPAT BUNGA - DR KHIR

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium